Berita Hari Ini

Majikan gagal patuhi dasar gaji minima akan didakwa

MARAN – Majikan yang gagal mematuhi Dasar Gaji Minimum yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini boleh dikenakan tindakan mahkamah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, majikan yang ingkar boleh dikenakan denda RM10,000 serta penjara lima tahun ataupun kedua-duanya sekali.

Katanya mengikut akta itu juga majikan yang berterusan melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja.

“Pelaksanaan skim gaji minimum baharu itu, diharap dapat menjamin nasib pekerja kerana tiada lagi perbezaan antara gaji pekerja tempatan dan pekerja asing. Masing-masing mendapat hak yang sama,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penyerahan kunci rumah baharu kepada mangsa banjir dan kebakaran di Kampung Lubuk Paku, Chenor di sini hari ini.

Ismail berkata kerajaan telah menetapkan kadar gaji minimum baharu bagi Semenanjung Malaysia pada RM1,000 sebulan manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula ialah RM920 sebulan.

Ia diputuskan hasil perbincangan bersama Majlis Perundangan Gaji Negara (MPGN) yang terdiri daripada majikan dan wakil kesatuan pekerja setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kos sara hidup dan perkembangan ekonomi negara.

Pelaksanaan skim gaji minimum baharu itu bakal memberi manfaat kepada lebih tujuh juta pekerja dan ia akan disemak semula setiap dua tahun sekali.

Bagaimanapun, pelaksanaan skim itu tidak melibatkan sektor pembantu rumah.

Kadar gaji minimum di Semenanjung Malaysia sekarang ialah RM900 manakala untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula ialah RM800.

Sejak 2014 hingga tahun lepas sebanyak 692 majikan didakwa di mahkamah kerana gagal membayar gaji minimum kepada pekerja.

Dalam tempoh itu juga sebanyak 81,200 pemeriksaan telah dilakukan dan daripada jumlah berkenaan hanya satu peratus atau 1,172 majikan yang tidak mematuhi peraturan tersebut.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");