Sukan Hari Ini

Malaysia mara ke suku akhir

SKUAD kelayakan Piala Thomas terus buktikan mereka mampu beri saingan apabila melakar kemenangan bergaya dengan menewaskan Nepal 5-0 pada aksi kedua Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Tertutup GMC Balayogi, Hyderabad, semalam.

Walaupun menampilkan barisan muda yang belum pernah merasakan aksi berpasukan, namun mereka tidak menunjukkan rasa gementar, sebaliknya mempamerkan aksi cemerlang apabila kesemua kemenangan tersebut dicatat menerusi keputusan straight-set.

Kemenangan itu sekali gus membawa Malaysia melangkah ke suku akhir bersama Jepun yang turut mencatat dua kemenangan ke atas lawan sama.

Malaysia akan menentang Jepun hari ini pada aksi terakhir bagi penentuan gelaran juara dan naib juara Kumpulan B.

Dalam perlawanan itu, Zulfadli Zulkiffli meniupkan semangat rakan sepasukan apabila menyumbangkan mata pertama Malaysia dengan menundukkan Sajan Krishna Tamrakar 21-5, 21-5.

Ketua Pasukan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang dipertanggungjawabkan memikul cabaran perseorangan kedua pada penampilan sulung kelayakan itu membalas kepercayaan dengan mengalahkan Bishnu Katwal 21-3, 21-4.

Soong Joo Ven juga tidak mengecewakan apabila meraih mata ketiga dengan menumpaskan Nabin Shrestha 21-9, 21-12

Dua lagi mata diperoleh daripada beregu, Low Juan Shen-Tan Kian Meng yang menang mudah ke atas Bishnu Katwal-Bikash Shrestha 21-8, 21-6 sebelum gandingan Tan Chee Tean-Tan Wee Gieen memastikan Malaysia mengutip mata maksima apabila langsung tidak diberi tentangan ketika mengalahkan Sudeep Sedhai-Sajan Krishna Tamrakar 21-6, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung tidak sampai 15 minit.

Iskandar ketika dihubungi bagaimanapun berharap rakan sepasukannya tidak dibuai mimpi kerana cabaran sebenar Malaysia dalam perlawanan Kumpulan B adalah menentang Jepun, hari ini.

“Pertemuan menentang Jepun esok (hari ini) bukan mudah kerana berdasarkan pemerhatian saya mereka jelas kuat. Jadi kami perlu berhati-hati kerana bukan mudah untuk berdepan mereka,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");