Jenayah

Mendarat cemas: Empat pegawai masih ditahan di wad

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan sebuah Pasukan Lembaga Penyiasatan bagi menyiasat insiden pesawat CN235 milik TUDM yang mendarat cemas di Pantai Kuala Selangor, semalam.

Pasukan itu diketuai pegawai kanan TUDM yang merupakan seorang juruterbang berpangkat Kolonel dan akan dibantu oleh empat ahli terdiri dari juruterbang, jurutera dan seorang doktor perubatan, kata Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Roslan Saad dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata setakat ini, masih terlalu awal untuk menentukan punca sebenar insiden itu berlaku di mana siasatan terperinci perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang mengakibatkan kejadian tersebut.

Pasukan siasatan itu ditubuhkan bagi melihat daripada pelbagai aspek sebelum membuat rumusan punca insiden tersebut, katanya.

Roslan berkata empat dari lapan anak kapal yang terlibat dalam insiden itu diberikan rawatan sebagai pesakit luar oleh doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sudah dibenarkan pulang.

“Empat lagi dimasukkan ke wad di Hospital ATM untuk pemeriksaan dan pemerhatian lanjut,” katanya, sambil menambah bahawa mereka berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) akan membuat penilaian bagi menentukan langkah-langkah dan usaha untuk membawa keluar pesawat itu dari kawasan insiden, dengan secepat mungkin.

Pada masa sama, Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) selaku pengurus konfigurasi sistem pesawat pula dipertanggungjawabkan menyelaras segala keperluan bantuan teknikal atau pakar yang sewajarnya daripada agensi-agensi luar TUDM untuk tujuan menganalisa dan mengenal pasti punca kejadian, katanya.

Roslan berkata MPBU juga akan membantu MPOU dalam mengkoordinasikan bantuan agensi luar yang berkaitan dalam usaha untuk membawa keluar pesawat tersebut daripada lokasi kejadian.

Beliau turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abu Hassan Abd Latib, penduduk tempatan yang meninggal dunia setelah lemas semasa merentasi tali air untuk bergegas ke lokasi kejadian.

Roslan berkata ketika kejadian, mangsa gagal berenang disebabkan oleh faktor sedutan daripada sistem perparitan di kawasan berkenaan.

“Sebagai penghargaan dan untuk meringankan beban waris keluarga mangsa, TUDM telah menghulurkan sumbangan bantuan kewangan yang telah disampaikan oleh wakil TUDM kepada keluarga Allahyarham dan memberi bantuan untuk urusan pengebumian jenazah petang tadi,” katanya.

Dalam kejadian 8.50 pagi tadi, pesawat yang membawa lapan anak kapal membuat pendaratan cemas di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor.

Kesemua anak kapal selamat, selepas dibantu nelayan tempatan di kawasan itu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");