Jenayah

Mengaku salah cederakan pengawal

BACHOK: Tiga pelatih Cure and Care Rehab Centre (CCRC) yang melarikan diri dari pusat itu pada 28 Januari lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Bachok, semalam atas tuduhan mencederakan pengawal keselamatan dan mencuri telefon bimbit milik lelaki itu.

Dalam pertuduhan pertama, tiga tertuduh, Mahney Mahrah Rahmat, 36, Norhafizah Mustapha, 26, dan Nik Nora Ramin@Rahimin, 35, masing-masing berasal dari Johor, Perak dan Kelantan dibicarakan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Hisham Abdullah, 35, di balai pos utama CCRC Bachok pada jam 3.40 tarikh tersebut.

Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau keduanya sekali.

Namun, hanya Mahney yang mengaku bersalah, manakala dua lagi rakannya tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua mereka didakwa mencuri telefon bimbit milik pengawal keselamatan itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali.

Mahney dan Norhafizah mengaku bersalah, namun Nik Nora tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Selain itu, mereka juga didakwa mencuri sebuah lagi telefon milik mangsa pada tarikh dan masa sama, namun semua tertuduh tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan, Abd Razak Shabudin.

Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin menetapkan kes disebut semula pada 16 Mac nanti.

Dalam kejadian pada 28 Januari lalu, tiga pelatih CCRC, Telong, yang baru sebulan memasuki pusat itu telah memukul pengawal keselamatan menggunakan bata, kerusi dan menjerut mangsa sebelum melarikan diri.

Tertuduh kemudiannya mencuri pakaian penduduk kampung sebelum menumpang kereta seorang lelaki untuk ke Pasir Puteh dan bersembunyi di sebuah rumah penduduk di Sungai Petai.

Namun, semua tertuduh berjaya ditangkap semula selepas 10 jam melarikan diri.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");