Sukan Hari Ini

Misi besar Selangor

TIGA misi ditetapkan Selangor untuk dicapai musim ini sekali gus memastikan skuad Merah Kuning menepati ramalan selaku pasukan pilihan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bermula Sabtu ini.

Tiga misi itu ialah mempertahankan Piala Malaysia, menjuarai Liga Super dan memperbaiki kedudukan dalam kalangan kelab di peringkat Asia.

Pengurus pasukan, Amirudin Shari berkata, beliau yakin misi tersebut mampu dicapai berdasarkan keupayaan dan kekuatan pemain di miliki The Red Giants.

“Dengan kualiti yang ada pada pemain musim ini, saya percaya tiga misi tersebut akan berjaya dicapai dengan syarat pemain beri fokus sepenuhnya di atas padang untuk mencapai kemenangan demi kemenangan.

“Kita juga memandang tinggi cabaran yang akan hadir daripada pasukan pencabar seperti JDT, Terengganu dan sebagainya, dan sudah tentu Selangor sudah bersiap sedia sepenuhnya,” katanya selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi baharu Selangor bagi musim 2016 di Shah Alam, semalam.

Mengulas mengenai sasaran memperbaiki kedudukan dalam kelab di Asia, Amirudin berkata, ketika ini Selangor berada di kedudukan keempat dalam pasukan di Malaysia.

“Jika tidak dapat menjadi yang pertama sekalipun, kita tekad untuk berada di kedudukan kedua terbaik. Kami amat mengharapkan sokongan sepenuhnya daripada penyokong agar misi ini dapat dicapai dan seterusnya mengekalkan pasukan Selangor sebagai sebuah pasukan yang digeruni,” katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan berkata, pasukannya kini berada di tahap terbaik mencapai misi yang ditetapkan pengurusan pasukan.

Kata Zainal, baki beberapa hari sebelum saingan Liga-M bermula akan digunakan sebaik mungkin dalam memperbaiki kelemahan yang ada.

“Kita sudah mendapat pengajaran paling penting dalam beberapa siri perlawanan pra musim yang telah dilalui. Banyak kelemahan telah dikenal pasti dan kita akan cuba memperbaiki kelemahan tersebut.

“Pemain akan diberikan bukan sahaja latihan fizikal malah penekanan mengawal mentaliti dan psikologi dan menerapkan keyakinan dalam permainan,” katanya.-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");