Berita Hari Ini

MoU 1.5 Juta Pekerja Bangladesh: Malaysia Beri Penjelasan Hari Ini

PETALING JAYA: Perjanjian telah pun ditandatangani. Bangladesh akan menghantar 1.5 juta pekerjanya ke sini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot ketika dihubungi di Dhaka berkata satu sidang akhbar untuk menjelaskan mengenai MoU itu akan diadakan pada Jumaat di Putrajaya.

MoU itu ditandatangani antara Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Nurul Islam, bagi pihak Bangladesh, dan Riot, bagi pihak Malaysia, pagi semalam, di Kementerian Kebajikan Ekspatriat, Bangladesh.

Ia akan membolehkan pekerja lelaki dan wanita Bangladesh dibawa masuk ke dalam sektor perkhidmatan, pembinaan, pertanian, perladangan dan pembuatan.

Menurut laporan Daily Star Bangladesh, pekerja akan dibayar gaji minimum RM800 hingga RM900.

Majikan Malaysia juga akan membayar deposit keselamatan pekerja, levi, fi visa dan insurans kesihatan dan pampasan.

Langkah untuk membawa masuk sejumlah besar pekerja Bangladesh itu telah menarik pelbagai tindak balas daripada industri tempatan.

Walaupun sesetengah menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai tepat pada masanya, ada juga pihak yang menyuarakan kebimbangan mengenai kemasukan pekerja secara tiba-tiba yang boleh membawa kepada masalah sosial.

Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia Datuk R. Ramalingam Pillai mengalu-alukan perjanjian itu, menyatakan ia datang tepat pada masanya.

“Langkah ini akan membantu industri kecil dan sederhana,” katanya, sambil menambah langkah itu tidak akan meminggirkan mana-mana pekerja tempatan kerana ia bertujuan untuk menggantikan pekerja asing sedia ada yang mahu pulang ke negara mereka semula.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed menyokong langkah itu tetapi mahu kerajaan memastikan pelaksanaan MoU itu.

“Mereka perlu melakukan penguatkuasaan dengan berkesan,” katanya.

Naib presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Tan Sri A K Nathan berkata masih terdapat permintaan untuk tenaga kerja asing dalam industri pembinaan, terutamanya bagi projek-projek infrastruktur yang besar seperti projek Rapid dan MRT.

“Bagaimanapun, keutamaan harus diberikan kepada pengesahan pekerja haram sedia ada,” katanya.

Dianggarkan terdapat kira-kira dua juta pekerja asing di Malaysia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan pula lebih berhati-hati, menyatakan bahawa kemasukan pekerja Bangladesh boleh menyebabkan lebih banyak masalah sosial.
Beliau berkata jumlah semasa pekerja Bangladesh sudah cukup menyebabkan masalah di negara ini.

“Pada dasarnya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak berpuas hati. Kita dapat melihat tindak balasnya di seluruh negara.

“Kita sudah cukup berdepan dengan masalah sosial dan membawa masuk 1.5 juta warga Bangladesh hanya akan mewujudkan lebih banyak (masalah),” katanya kepada pemberita selepas menggulung sesi Parlimen Belia, di sini, Khamis.

Bekas Naib Presiden MIC itu bagaimanapun berkata kerajaan menyedari kebimbangan rakyat dan akan menanganinya dengan sewajarnya.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga menentang langkah itu dan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya, Khamis.

Timbalan Presiden MTUC Abdullah Sani berkata kemasukan itu akan memberi kesan buruk kepada industri dan pekerja tempatan.

“Kami mahu tahu pekerja-pekerja itu akan diserapkan ke sektor mana dan apa rasionalnya membawa mereka masuk,” katanya.

Beliau juga berkata lebih banyak usaha perlu dibuat untuk mengesahkan status pekerja asing yang sudah berada di negara ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan juga senada, menggambarkan pasaran buruh sebagai lemah pada masa ini.

“Kami amat bimbang. Sebarang langkah untuk membawa masuk lebih ramai pekerja asing mestilah berdasarkan permintaan sebenar,” katanya.

Walaupun kadar pengangguran adalah rendah, kira-kira 3.2 peratus, beliau berkata ia mewakili kira-kira 400,000 pengangguran penduduk tempatan.

“Kita tidak mahu berlaku keadaan di mana penduduk tempatan mendapati diri mereka bersaing dengan Bangladesh untuk bekerja,” katanya.

“Ini akan membawa kepada masalah sosial.”-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");