Panasnya Hari Ini

Muhyiddin Digantung Jawatan Kerana Gagal Jalankan Tugas – Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa menyifatkan keputusan menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO adalah berikutan kegagalan Muhyiddin menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

Ujarnya, peruntukan 9.8.2.1 dalam perlembagaan parti jelas menyatakan bahawa tugas timbalan presiden adalah untuk membantu presiden dan sekiranya beliau gagal berbuat demikian, maka satu keputusan berhubung perkara itu perlu dibuat.

“Bagi kita (ia) satu keputusan yang terpaksa kita buat kerana sebagai sebuah parti kita perlukan disiplin, kita perlukan pada kerja berpasukan, kita perlukan tanggungjawab secara kolektif.

“Kita perlu patuh kepada apa yang ada dalam perlembagaan dan dalam perlembagaan parti (peruntukan) 9.8.2.1 itu jelas menyebut tugas timbalan presiden hendaklah membantu presiden (dan) apabila tugas itu tidak dilaksanakan, tidak membantu presiden dalam apa jua bentuk maka tindakan harus diambil,” katanya memetik sumber Astro awani.

Tambahnya, keputusan tersebut dibuat secara konsensus antara anggota MT di bawah Peruntukan 10.15 perlembagaan parti yang memberi kuasa kepada MT untuk mengambil apa-apa tindakan bagi kesempurnaan parti.

Jelasnya lagi keputusan berhubung tindakan itu tidak disertai oleh, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merasakan perbincangan itu adalah berkaitan dengan mereka.

“Ini bukan keputusan yang mudah yang mahu kita capai, kita berbincang berjam-jam. Presiden ambil keputusan tidak mahu terlibat dalam perbincangan dan dia keluar (dari bilik mesyuarat), Datuk Ahmad Zahid Hamidi juga tidak mahu terlibat dan dia pun keluar.

“Dan kami berbincang sama-sama kami dan semua kami bercakap dari hati ke hati, semua diberi peluang bercakap dan keputusan dibuat secara konsensus,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, bahawa ini bukan pertama kalinya UMNO mengambil keputusan sebegini, malah keputusan sama pernah dibuat pada tahun 1998 dan 2008.

Mengulas sama ada keputusan ini akan memberi kesan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, jelasnya keputusan hari ini adalah berkaitan perkara dalam parti dan ia dibuat bagi mengukuhkan parti menjelang pilihan raya.

“Hendak sampai ke PRU14 sebagai sebuah parti kita semua kena bekerja, jadi kita ada kerja yang hendak dibuat. Bagaimana kalau kita ada penjawat jawatan dan tidak melaksanakan tugas seperti mana di dalam perlembagaan.

“Kerana kita mahu meneruskan tugas kita terhadap rakyat dan kerana kita mahu menghadapi pilihanraya lah, kita terpaksa buat keputusan yang pahit ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata keputusan itu bersandarkan “kita nak melihat ke hadapan” dan “bersandarkan kerjasama dalam satu pasukan.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");