Panasnya Hari Ini
Like

Muhyiddin Sudah Jangka Keputusan MT UMNO

February 27, 2016
86 Views
0 Comments
3 minutes read
Muhyiddin Sudah Jangka Keputusan MT UMNO

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menjangkakan keputusan penggantungan jawatan beliau selaku Timbalan Presiden yang telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam.

Jelasnya lagi, ia juga bukannya satu perkara yang mengejutkan.

“Sejak saya digugurkan daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden.

“Saya disekat daripada menghadiri program-program parti.

“Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah, seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung,” katanya.

Tambahnya, sepanjang enam tahun memegang jawatan Timbalan Presiden beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengabaikan tugas dan tanggungjawabnya membantu Presiden.

“Saya mengetuai jentera pilihanraya BN dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu Presiden?

“Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengerusikan mesyuarat pengurusan UMNO, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti. Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus parti.

“Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli kepada Presiden serta menegur Presiden jika dia melakukan tindakan yang menjejaskan kepentingan UMNO,” katanya menerusi kenyataan media di laman Facebook miliknya.

Tambahnya tindakan menegur Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion dilakukannya dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan parti dan mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan yang betul.

“Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya tidak membantu Presiden.

“Adakah membantu Presiden itu bermaksud menyokong Presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan kesalahannya?

“Saya tidak fikir begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam UMNO menegurnya dan meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti.

“Jika dia berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam UMNO bersekongkol mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada UMNO,” katanya.

Tambahnya lagi,kini tercatat dalam lipatan sejarah UMNO, seorang Timbalan Presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur Presiden.

“Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai Timbalan Presiden.

“Ketika pindaan perlembagaan UMNO dibuat untuk membolehkan ahli-ahli di akar umbi memilih pemimpin utama parti, UMNO dicanang sebagai sebuah parti yang paling demokratik di negara ini,” katanya.

Namun, beliau menyifatkan keputusan MT hari ini langsung tidak memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang demokratik.

Komen & Pendapat

Leave a Reply