Membawang Hari Ini

Mya tersingkir

Undian yang tidak konsisten daripada penyokong pada Konsert Minggu Keenam Mentor Milenia, Ahad lalu menjadi penyebab Mya tersingkir daripada meneruskan cabaran pada minggu seterusnya.

Mya, 20, yang menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza berjaya menampilkan persembahan yang menghiburkan. Namun rezeki tidak memihak kepada protege Hazama ini yang terpaksa akur dengan penyingkirannya.

Persaingan battle keempat juga mengundang kontroversi tersendiri apabila Mya dan Zetty menduduki dua tangga peserta terbawah sedangkan kedua-duanya menunjukkan persembahan konsisten setiap minggu.

Ini mengundang perasaan tidak puas hati Datuk Seri Vida serta penyokong mereka yang berada di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Bagaimanapun, Zetty dan penyokongnya menarik nafas lega apabila hanya Mya yang mengikut jejak Nuri dan Han yang tersingkir pada minggu sebelumnya.

Hazama yang ditemui mengaku terkejut dengan penyingkiran anak didiknya kerana Mya mempunyai vokal yang menarik.

“Janganlah dibandingkan persembahan Mya dengan Siti kerana kedua-duanya berbeza. Mya dah menang pada battle pertama, sekali gus membuktikan dia mempunyai kekuatan tersendiri.

“Saya sebenarnya boleh terima hakikat penyingkiran Mya. Bagaimanapun, saya rasa mungkin konsep undian penonton menerusi Internet boleh diperbaiki kerana tak semua penonton tahu caranya.

“Mya jadi mangsa dan saya hanya tinggal Fareez meneruskan cabaran dalam Mentor Milenia. Untuk itu saya terpaksa bagi input yang terbaik agar dia menyerlah,” katanya yang mengharapkan undian masuk untuk menyelamatkan bakat Mya sekiranya ada.

Hazama turut berjanji tidak akan membiarkan bakat Mya hilang begitu saja dan terus mencari peluang dalam bidang seni.

Mya pula menjelaskan tidak kecewa dengan pe­nyingkiran ini kerana ia adat pertandingan.

“Saya sentiasa bersedia sekiranya disingkirkan. Yang penting saya sudah berikan yang terbaik setiap minggu. Cabaran yang dilalui pada minggu keenam ini ialah menyampaikan lagu mengikut konsep tersendiri.

“Saya diberikan lagu Datuk Siti dan menyanyikannya ikut cara sendiri. Mungkin masyarakat kita suka bandingkan kami sedangkan ini nyanyian versi saya. Apapun saya tak kecewa dan mengharapkan sokongan Hazama untuk langkah seterusnya,” jelasnya.

Peserta paling menonjol dalam Mentor Milenia sudah tentunya Qody. Anak didik Black ini sekali lagi berjaya meraih gelaran juara mingguan buat kali ketiga.

Qody, 21, menganggap kemenangan ini menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus menampilkan persembahan terbaik.

“Kemenangan ini menambahkan lagi tekanan kerana selepas ini peminat mahukan yang lebih terbaik daripada saya. Justeru, saya kena bekerja keras setiap minggu agar mereka tak kecewa.

“Saya juga perasan peminat menyamakan ‘high pitch’ saya seakan-akan Black. Saya akan cuba perbaiki keadaan ini agar kami tak disamakan. Tak dinafikan saya masih tercari-cari identiti sendiri,” katanya.

Sementara itu, Vida berkata, dia bercadang menampilkan juri profesional serta sistem undian yang lebih baik bagi memberi keadilan buat semua mentor dan protege dalam Mentor Milenia.

“Saya memang serius kerana saya lihat peminat ada kuasa untuk mengundi. Mereka hanya pilih yang mereka suka dan abaikan yang berbakat. Jadi, perlunya digandingkan juri awam dan profesional serta penonton di rumah.

“Saya nak Mentor Milenia lebih padat dan persaingan lebih hebat. Kalau lihat yang berlaku, kasihan dengan mereka yang berbakat tapi tak jadi pilihan peminat terutamanya yang di rumah.

“Saya rasa tak salah masukkan juri profesional kerana kalau hanya mentor yang mendidik protege dan kemudiannya mereka yang bagi komen, program ini tak berkembang,” katanya.

Menurutnya lagi bukan saja penonton, dia juga tidak pandai cara untuk mengundi peserta menggunakan Internet.

“Saya rasa kita masih lagi ada peluang untuk buat perubahan yang baik untuk industri. Mengapa tidak panggil juri profesional supaya ada kelainan dan protege tak jadi mangsa keadaan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");