Panasnya Hari Ini

Nazri Pertahankan Muhyiddin Daripada Dipecat

Foto:-Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan bahawa beliau antara orang yang mempertahankan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO daripada dipecat.

Berikutan itu, Nazri mengusulkan agar Muhyiddin hanya digantung jawatan dan bukannya dipecat kerana tindakan itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Jelasnya, hal ini demikian kerana ramai ahli MT UMNO mahukan Muhyiddin dipecat daripada parti kerana lantang mengkritik dan tidak membantu Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dedah Nazri lagi menerusi satu wawancara bersama Free Malaysia Today, mesyuarat yang dijalankan selama dua jam itu juga mengusulkan bahawa tindakan bukan sahaja dikenakan kepada Muhyiddin, tetapi juga termasuk beberapa pemimpin UMNO yang lain.

“Kalau saya tak cerita di bawah (orang akan spekulasi) macam-macam. Dua jam (ambil masa) hendak bincang (kerana) ramai nak pecat dia. Ada kata kenapa gantung sahaja. Kenapa tak pecat terus? Itu yang sampai dua jam tu. Bukan kerana tak setuju dengan (usul) saya. Biar orang luar faham. Orang ingat ada orang membangkang (tindakan ke atas Muhyiddin).

“Tapi saya pertahankan usul saya. Saya kata usul saya (adalah) kerana dia (Muhyiddin) tak menjalankan tugas dia (sebagai timbalan presiden),” kata beliau.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan bahawa Mesyuarat MT UMNO pada Jumaat lalu sebulat suara bersetuju agar Muhyiddin digantung daripada jawatan yang disandangnya.

Mesyuarat tersebut tidak disertai oleh Najib, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Muhyiddin dan juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.

Nazri turut mendedahkan bahawa ahli MT juga mahukan tindakan tegas diambil terhadap rakan rapat Muhyiddin iaitu Shafie dan juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir termasuklah bekas presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan terdapat aduan daripada ahli-ahli UMNO.

Mengulas lanjut, tindakan tersebut diambil berikutan jawatankuasa disiplin UMNO telah mengutus surat kepada MT kerana mereka tidak sanggup untuk mendengar kes tersebut kerana ianya melibatkan ahli parti berprofil tinggi.

“Sebab, pertama sekali pada hari itu kalau nak ambil tindakan tegas bukan terhadap dia (Muhyiddin) sahaja. Shafie pun, Mahathir pun, Mukhriz pun. Hari itu kita hanya bercakap tentang Muhyiddin. Dan sebenarnya memang ada aduan terhadap Muhyiddin, Shafie, Mukhriz, Mahathir dan beberapa lagi untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin.

“Tapi Jawatankuasa Disiplin tulis surat kepada MT, kerana orang-orang ni besar. Yang kita nak bincang ni Timbalan Presiden, Naib presiden, yang ketika itu menteri besar, bekas presiden. Jadi mereka tak sanggup buat.

“Ketika itu yang jadi hangat soal Muhyiddin, jadi kita tak bincanglah. Jadi yang lain tu mesti ada dossier (fail dan dokumen) dia, kesalahan dia. Muhyiddin tu senang. Kita gantung jawatan dia. Itu sahaja,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");