Sukan Hari Ini

Nicol inspirasi Delia

TIDAK pernah sangka akan berada di kedudukan sehebat ini, pemegang ranking nombor 15 dunia, Delia Arnold, 30, berkata, bergelar pemain skuasy profesional dunia bukan cita-citanya sejak kecil.

Katanya, beliau mula berjinak-jinak dengan raket skuasy hasil dorongan abangnya yang juga bekas pemain skuasy profesional, Timothy Arnold, 32, seawal usia 10 tahun dan kini beliau sudah 20 tahun berada dalam arena ini.

“Saya tak fikir akan jadi pemain skuasy profesional mahupun pemain skuasy tapi memandangkan setiap kali sertai kejuaraan ranking semakin baik jadi saya teruskan saja.

“Saya tak sasar main sampai bila tapi selagi boleh saya akan cuba lakar nama negara di pentas dunia, buat masa ini badan saya masih gagah untuk bertanding,” kata pemain nombor dua negara itu kepada Sinar Harian.

Isteri kepada bekas pemain badminton beregu negara, Lin Woon Fui berkata, meskipun statusnya kini berubah, namun itu bukan penghalang untuk beliau memburu kejuaraan.

“Suami saya tidak pernah halang malah sentiasa menjadi inspirasi untuk saya terus berusaha tanpa jemu.

“Mungkin berada dalam arena raket yang sealiran jadi kami saling memahami dan melengkapi. Buat masa ini saya nak fokus skuasy dulu, belum rancang untuk ada cahaya mata lagi,” kata Delia yang berkahwin pada Februari 2014.

Hubungan rapat

Dalam pada itu, Delia turut mendedahkan Nicol adalah sebab utama beliau sanggup bekerja keras dan berusaha untuk menjadi pemain skuasy terbaik dunia suatu hari nanti.

Katanya, Nicol menjadi idolanya sejak kecil dan melihat apa yang telah dicapai oleh juara dunia itu sepanjang kariernya dalam skuasy menjadikan dia lebih bersemangat untuk turut mengikut jejak bintang kelahiran Pulau Pinang tersebut.

Berkongsi hubungan eratnya dengan ratu skuasy negara itu, Delia berkata, setakat ini dia belum pernah berjaya menundukkan pemain handalan dunia berkenaan.

“Saya dan Nicol sering bertemu dalam banyak kejuaraan sama ada dalam negara atau peringkat antarabangsa menjadikan hubungan kami rapat.

“Tapi malangnya Nicol terlalu hebat, saya tak ada peluang lagi kalahkan dia,” kata Delia berseloroh.

Anak didik jurulatih dari England, Peter Genever itu menasihatkan pemain pelapis skuasy negara untuk berlatih bersungguh-sungguh setiap hari, fokus 100 peratus dan berdisiplin untuk menjadi pesaing digeruni di pentas antarabangsa.-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");