Sukan Hari Ini

Optimis sekat Ayeyawady

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) yakin mampu memulakan saingan Piala AFC 2016 dengan langkah kanan bagi mempertahankan piala dimenangi musim lalu.

Namun ketua jurulatihnya, Mario Gomez berkata, dia tetap percaya saingan kali ini jauh berbeza walaupun yakin dengan pasukan bimbingannya.

Menurutnya, pertembungan sulung Kumpulan H dengan menentang wakil Myanmar, Ayeyawady United FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin juga disifatkannya sebagai perlawanan penting selaku penyandang kejuaraan.

“Ya.. saya yakin (mempertahankan kejuaraan). Saya yakin dengan pasukan dan pemain saya. Cuma setiap kali musim baharu, ia berbeza (dengan musim terdahulu) tetapi saya yakin.

“Bagi kami, perlawanan esok (hari ini) adalah penting. Kami akan berusaha untuk menang dan memang sasaran kami adalah memenangi piala ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Thistle Hotel, semalam.

Menjelang pertemuan itu, Gomez berkata, pihaknya sudah menyaksikan beberapa siri video perlawanan melibatkan Ayeyawady bagi mengenal pasti kelemahan pasukan lawan untuk dimanfaatkan oleh pasukan.

“Kami tahu serba sedikit tentang pasukan lawan. Mereka mempunyai dua pemain tengah yang bagus, begitu juga dengan seorang pemain mereka yang sebelum ini pernah menyarung jersi Perak (Kyaw Zayar Win),” katanya.

Sementara itu, Safiq Rahim bersedia untuk diturunkan menentang The Fishermen itu walaupun sebelum ini direhatkan atas faktor kecederaan.

“Jika diberikan tugas dan kepercayaan, saya akan memberikan yang terbaik. Saya juga mahukan sokongan semua rakan, malah berharap cergas untuk diturunkan esok.

“Ayeyawady United FC adalah satu pasukan yang kuat. Walaupun bermain di tempat kita, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka,” katanya.

Kapten JDT itu turut memberitahu, mahu mendapatkan keputusan yang baik di laman sendiri dengan kehadiran penyokong setia Harimau Selatan.

“Bola sepak adalah sukan berpasukan. Jika tiada kerjasama sepasukan, kita tidak akan dapat meraih apa yang kita dapat sebelum ini, Saya percaya, kalau kami sama-sama lakukan seperti yang lepas, tidak mustahil kami boleh mempertahankan kejuaraan,” katanya.

Untuk rekod sebelum ini, Harimau Selatan pernah menewaskan Ayeyawady United FC 5-0 dalam pusingan ke-16, Piala AFC 2015.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");