Isu Panas

Parlimen Paya Besar masih tetap kukuh

PARLIMEN Paya Besar merupakan satu-satunya kawasan di Kuantan yang terus kekal dikuasai BN selepas PRU13. Kemenangan itu menyaksikan tiga kerusi iaitu Dun Panching, Dun Sungai Lembing dan Dun Lepar selamat dan terus diwakili oleh Adun BN/Umno.

Selepas PRU13, banyak perubahan dan pembangunan dilaksanakan di dalam Parlimen Paya Besar demi memenuhi keperluan kira-kira 50,000 pengundi.

Ikuti wawancara wartawan, ERMA YUSNIDA JUSOH bersama Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Ketua Umno Bahagian Paya Besar, DATUK ABDUL MANAN ISMAIL yang terkenal dengan sifat mesranya.

Selepas PRU13, apakah perubahan dan pembangunan yang sudah dilaksanakan di Parlimen Paya Besar?

Sebaik sahaja mengetahui Paya Besar masih kekal milik BN, saya sudah membayangkan pelbagai pembangunan yang akan dilaksanakan seiring dengan manifesto yang dibuat. Sehingga kini, janji-janji yang dibuat ketika PRU13 dahulu sudah ditunaikan. Justeru, kita memberi perhatian dan gerak kerja untuk menghadapi PRU14.

Antara pendekatan yang diambil adalah melalui Biro Kebajikan yang turun padang menziarahi dan melawat pengundi yang sakit, miskin dan memerlukan bantuan.

Selain itu, Biro Daftar Pemilih juga bergerak aktif menjalankan kerja mendaftarkan pengundi muda dan baharu. Setakat ini saya berpuas hati dengan komitmen setiap biro yang dipertanggungjawabkan.

Apakah antara janji-janji PRU13 yang sudah ditunaikan?

Janji-janji yang dibuat pada PRU13 yang lalu lebih kepada menyediakan kemudahan di kawasan perumahan, Felda dan kampung tradisional di dalam Parlimen Paya Besar. Antaranya menyediakan dewan serba guna dan juga masjid.

Boleh dikatakan semua tempat sudah mempunyai dewan dan masjid. Malah setiap masjid juga kita sediakan penyaman udara untuk keselesaan jemaah. Kita akan terus memberi perhatian terhadap keperluan penduduk setempat melalui permohonan yang dibuat.

Melihat senario politik masa kini, apakah pandangan Datuk mengenai sokongan rakyat di Parlimen Paya Besar terhadap BN?

Saya akui, pelbagai isu timbul yang turut mengaitkan nama pemimpin tertinggi BN. Antara isu hangat dan menimbulkan pelbagai spekulasi pastinya isu 1MDB dan RM2.6 bilion. Bagaimanapun, keyakinan rakyat di Parlimen Paya Besar dilihat tidak terjejas malah sokongan terus diberikan tanpa berbelah bahagi.

Keputusan siasatan berhubung kes berkenaan juga sudah selesai dan saya berharap semua pihak menerimanya dengan lapang dada. Berhubung pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), saya mendapat maklum balas daripada masyarakat di kawasan supaya mengadakan sesi penerangan dalam perkara itu.

Secara keseluruhannya, saya melihat sokongan masih kuat kepada BN manakala ahli Umno sendiri memahami kemelut tersebut. Pada persidangan Umno peringkat bahagian yang lalu, saya sudah mengingatkan mereka agar memberikan sokongan padu kepada pemimpin tertinggi. Semua parti komponen juga menyatakan sokongan sama.

Bagaimanakah pendekatan yang Datuk gunakan untuk menambat hati pengundi di Paya Besar?

Tiada sebarang rahsia. Bagi saya, mendekati penduduk melalui pelbagai program turun padang adalah cara terbaik. Dalam setiap program, tiada protokol yang saya tetapkan. Mereka boleh maklumkan sebarang masalah terus kepada saya jika ada.

Namun begitu, saya yakin dengan gerak kerja jentera Paya Besar termasuk peranan yang dimainkan pergerakan sayap. Selain itu, setiap Adun di tiga kawasan juga melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Sekiranya terdapat cadangan daripada masyarakat, kita akan kaji mengikut kesesuaian. Paling memberi kesan, program Perkahwinan Beramai-ramai yang dilaksanakan baru-baru ini adalah program terbaik untuk mendekati golongan muda.

Apakah isu besar yang dilihat mengganggu sokongan rakyat di kawasan?

Pada masa kini, isu perlombongan bauksit adalah isu besar yang dihadapi penduduk di Parlimen Paya Besar apabila kawasan Felda Bukit Goh, Bukit Sagu dan Bukit Kuantan terjejas teruk. Perlombongan bauksit yang dilakukan secara besar-besaran itu menyebabkan rakyat berang kerana berlaku pencemaran.

Sehinggalah kerajaan buat keputusan untuk menghentikan sementara aktiviti itu selama tiga bulan. Saya sangat berharap sepanjang tiga bulan operasi dihentikan, aspek kebersihan diberikan tumpuan utama. Bagaimana pun, saya sangat berharap kerajaan dapat sediakan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk jangka masa panjang.

Akhir sekali, apakah harapan Datuk kepada seluruh masyarakat di kawasan Paya Besar?

Harapan yang tinggi pasti diletakkan kepada seluruh masyarakat di Parlimen Paya Besar agar memberikan sepenuh sokongan kepada kepimpinan sedia ada. Dengan apa yang sudah dilaksanakan sebagai Ahli Parlimen dan tiga wakil rakyat di setiap Dun, saya sedar mungkin kami tak mampu memuaskan hati semua orang.

Walaupun begitu, kami sentiasa berikrar untuk berkhidmat kepada rakyat yang sudah memberi undi mereka kepada kami pada PRU13. Kepercayaan yang diberikan tidak akan disia-siakan.-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");