Isu Panas

Pas desak cari alternatif atasi kemasukan warga asing

SHAH ALAM – Pas mendesak kerajaan agar tidak terlalu mudah membenarkan kemasukan warga asing untuk bekerja negara ini.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan berkata, kerajaan harus meneroka inisiatif baru dalam usaha mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing.

Katanya, kemasukan 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke negara ini akan menjadikan warga asing sebagai populasi masyarakat kedua terbesar selepas Melayu.

“Menurut data yang dikemukakan Menteri Sumber Manusia pada 2014, jumlah keseluruhan pekerja asing berjumlah 6.7 juta orang.

“Angka tersebut telah mengatasi populasi penduduk Cina yang dianggarkan berjumlah 6.52 juta orang berdasarkan Banci Penduduk Malaysia 2010,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, jika kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh tetap diteruskan, maka secara kasarnya jumlah warga asing di Malaysia melangkau lapan juta orang.

“Ternyata, jumlah ini sangat besar dan ia boleh mempengaruhi sosio-budaya masyarakat di Malaysia. Malah, keberadaan warga asing telah membentuk koloni-koloni mereka di lokasi tertentu terutamanya di Lembah Klang selain peningkatan kadar jenayah dalam kalangan warga asing,” katanya.

Mengambil contoh kes jenayah dalam kejadian tembak di Pasar Borong Selayang baru-baru ini melibatkan warga Myanmar yang mendominasi kawasan tersebut, ia tidak boleh dipandang remeh.

Begitu juga di sekitar kawasan Chow Kit, Kampung Pandan dan Kampung Baru yang dikenali Mini Jakarta.

“Adakah kerajaan mahu perkara ini terus berlaku sehingga menyebabkan rasa kurang senang penduduk tempatan? Keputusan kerajaan untuk membenarkan kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh ke negara ini juga bercanggah dengan polisi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing,” katanya.

Katanya lagi, ia akan terus menyumbang kepada masalah pengaliran wang keluar negara. Pada 2012, jumlah pengaliran wang keluar mencatatkan sebanyak RM 21.7 bilion dan trend tersebut meningkat pada 2013 dan 2014.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");