Panasnya Hari Ini

Pecat ADUN PKR: Perlu Bincang Secara Berhemah- Azmin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang memecatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Pulau Pinang daripada memegang jawatan dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Ujarnya, Guan Eng tidak sepatutnya berbuat demikian berikutan dua ADUN PKR itu hanya bertindak menyampaikan pandangan yang berbeza dan harus diraikan oleh setiap pihak.

“Biro Politik PKR buat keputusan, kita membantah sebarang tindakan terhadap ADUN dan kita akan mempertahankan mereka yang menggunakan DUN untuk memberikan pandangan dan maklum balas.

“Mereka bukan buat fitnah dan yang kita tolak adalah budaya fitnah. Tetapi sebagai ADUN, mereka memberikan maklum balas dan pandangan. Perkara ini perlu diraikan dan tidak perlu diambil tindakan,” ujarnya memetik sumber Freemalaysiatoday.

Tambahnya lagi, PKR Pusat mengutus surat kepada Kerajaan Pulau Pinang bagi memaklumkan pendirian parti itu dalam isu ini.

“Ada buat ketetapan untuk hantar surat kepada Kerajaan Pulau Pinang supaya perkara ini dapat dibincangkan dengan baik dan secara berhemah,” jelasnya.

Terdahulu, ADUN PKR yang berkecuali daripada mengundi menentang usul UMNO untuk menghentikan semua projek penambakan di Pulau Pinang sewaktu sidang DUN November lalu, difahamkan telah ditamatkan perkhidmatan mereka sebagai pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen, ditamatkan khidmatnya sebagai Pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Manakala ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");