Jenayah

Pekerja kedai telefon bimbit ugut pengawal keselamatan

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kedai telefon bimbit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengugut seorang pengawal keselamatan, dua minggu lepas.

Ong Kong Swee, 39, didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Biswajeet Singh Sadhu Singh, 53, sehingga menimbulkan ketakutan kepadanya di Lobi Viva Residency, Batu 2 1/2, Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 3.30 petang, 12 Februari lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan dikhuatiri tertuduh akan menganggu mangsa jika mahkamah membenarkannya diikat jamin.

Peguam Ong, Noor Mousa Azaddin memohon mahkamah memberikan jaminan atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada polis sejak ditahan reman semalam selain perlu menjaga empat anaknya yang masih bersekolah.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula kes.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");