Berita Hari Ini

Pelajar Malaysia di Jordan dinasihat amal kesederhanaan

IRBID – JORDAN. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan para pelajar Malaysia di Jordan mengambil pendekatan bersifat ‘wasatiyyah’ dalam mendepani pelbagai fahaman dan aliran pemikiran.

Menurut baginda wasatiyyah atau kesederhanaan adalah pendekatan yang tegak dengan prinsip Qurani dan Islami selain tidak bercanggah dengan syariah atas maslahat yang baik.

“Jangan sekali-kali ambil pendekatan ekstrem dan melampau kerana perbuatan itu ditegah Rasulullah SAW,” titah baginda pada program ‘Liqa Mawaddah’ bersama pelajar Malaysia di Jordan di Dewan Universiti Yarmouk di sini, malam tadi.

Kira-kira 500 dari hampir 3,000 pelajar Malaysia di negara itu hadir pada program itu yang merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips).

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Zamri Khairudin dan Mufti, Prof Madya Dr Mohamad Asri Zainul Abidin, serta pegawai-pegawai pejabat Kedutaan Malaysia di Jordan turut hadir.

Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua Maips mengingatkan para pelajar Malaysia di sini yang berkorban meninggalkan keluarga supaya memberi tumpuan terhadap pelajaran dan tidak berputus asa dalam menuntut ilmu.

“Saya mahu pelajar sekalian menguasai bahasa Arab yang menjadi kunci untuk menimba ilmu di bumi Arab ini tetapi tidak harus mengetepikan bahasa Inggeris yang menjadi medium bahasa antarabangsa.

Elakkan mengambil maklumat secara semberono, selidiklah terlebih dahulu. Rujuk pihak berkuasa khususnya pejabat kedutaan untuk pastikan kita tidak terpengaruh oleh elemen-elemen yang merosakan masa depan kita,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pelajar-pelajar yang berfikiran positif dan rasional tidak akan mudah membuat kesimpulan terhadap sesuatu isu sama ada dalam negara atau global.

Di akhir program itu baginda melancarkan program ‘Promosi Makanan Perlis’ dalam usaha ‘mempromosi’ Perlis ke peringkat global.

Sebelum itu Mufti kerajaan Perlis, Dr Mohamad Asri meluangkan masa lebih setengah jam memberi ceramah dan menjawab soalan para pelajar berkaitan maslahat umat Islam. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");