Membawang Hari Ini

‘Penat kami hilang’

Selepas mengadakan empat majlis iaitu malam berinai, akad nikah serta dua acara resepsi, pasangan pengantin baru, Shaheizy Sam, 34, dan Syatilla Melvin, 25, mengakui berasa penat.

Namun, rasa letih itu hilang dengan sendirinya selepas melihat ramai tetamu hadir ke majlis perkahwinan mereka baik di sebelah Tilla mahupun Sam.

Bagi Tilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, kehadiran sanak- saudara dan rakan terdekat kedua-dua belah pihak membuatkan dia dan suami rasa dihargai.

“Ketika majlis saya, tetamu yang hadir bukan saja dari Pulau Pinang malah ada datang dari jauh.

“Kesudian dan kesungguhan mereka sangat kami hargai. Disebabkan itu, saya dan suami perlu buang rasa penat. Paling penting, kami dapat melungkan masa dengan mereka,” katanya.

Sementara itu bagi Sam pula, berdepan situasi seperti itu bukan satu masalah besar kerana dia sudah biasa menjayakan acara besar.

“Bohonglah kalau saya kata tak penat. Alhamdulillah, saya dan isteri diberi kekuatan untuk mengawal semua majlis dengan sebaik mungkin.

“Lagipun, sebelum ini saya sudah biasa bekerja dengan ramai orang. Malah ada ketika saya tidak cukup rehat. Jadi, apabila kami berkahwin dan perlu melalui senario serupa saya okey,” katanya yang mengakui perlu menjaga hati banyak pihak selepas ini terutama isteri dan keluarga mentua.

Berkongsi perasaannya mengenai majlis perkahwinan mereka, kata Tilla dia berpuas hati.

Malah, apa yang diidamkannya dan suami berjaya direalisasikan meskipun perancangan asal mereka sekadar majlis sederhana.

“Saya dan suami bersederhana dalam banyak perkara. Pada mulanya kami mahu majlis yang ringkat mengikut cita rasa kami. Namun, apabila ada beberapa pihak sudi menaja majlis jadi lebih mewah.

“Tidak pernah terfikir pun jadi begini, mungkin ini rezeki kami,” katanya seraya menguntum senyuman.

Membabitkan 45 syarikat penaja sehingga mencecah RM25 juta, perkahwinan Sam dan Tilla dilabel sebagai ‘wedding of the year’.

Mengenai percutian bulan madu, Sam dan Tilla belum ada sebarang perancangan.

“Sam suka merancang pada saat akhir. Jadi tidak tahu lagi bila tarikhnya, tetapi destinasi pilihan kami adalah Maldives,” kata Tilla.

Tak kisah dikutuk

Gemilang perkahwinan Sam dan Tilla bagaimanapun dicemari beberapa perkara sehingga menjadi buah mulut masyarakat.

Selain majlis yang dikatakan indah khabar dari rupa, busana perkahwinan yang dipakai Tilla ketika majlis bertunang dan resepsi di Pulau Pinang hangat diperkatakan di laman sosial.

“Orang kita memang suka mencari kekurangan orang lain. Saya tahu perkara sebegitu pasti jadi buah mulut namun saya tidak ambil pusing.

“Paling penting, saya bersyukur kerana dapat menjamu lebih 10,000 tetamu. Cakaplah apa saja mengenai busana perkahwinan saya, yang penting saya puas hati dengan rekaannya,” katanya.

Pada masa sama, ramai beranggapan Sam dan Tilla terpaksa akur dengan kehendak pihak penaja.

Mengulas perkara itu, Sam menegaskan ia tidak benar sama sekali.

“Ramai salah anggap apabila bercakap soal penajaan. Hakikatnya tajaan tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit tetapi ada juga barangan.

“Bercakap soal busana perkahwinan, apa yang boleh saya katakan tidak semua orang sempurna. Ini majlis kami, jadi kami tahu apa kami pakai,” katanya.

Majlis gemilang

Terdahulu, majlis resepsi sebelah pengantin lelaki berlangsung dengan meriah di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur kelmarin.

Dihadiri lebih 1,000 tetamu, majlis bertemakan ala Inggeris itu menyaksikan Sam segak dalam sut Lords Tailor manakala Tilla anggun dengan gaun rona putih rekaan Altelia Amani.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Seri Shah Reza, Salwa Abdul Rahman, Rohana Jalil, Nassier Wahab, Salimah Mahmod dan Arja Lee.

Turut mencemar duli menghadiri majlis terbabit ialah Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Hadir sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Antara rakan artis yang hadir ialah Zizan Razak, Tiz Zaqyah, Cat Farish, Nora Danish, Fizo Omar, Zahiril Adzim, Adlin Aman Ramli, Emelda Rosmila, Zed Zaidi, Ayda Jebat, Didie Alias dan Kamal Adli.

Satu lagi majlis resepsi khas buat peminat akan diadakan di Interior Design City Centre (IDCC), Shah Alam pada 20 Februari ini.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");