Berita Hari Ini

Pengguna digesa guna kuasa pembeli

KAMPAR – Pengguna digesa menggunakan kuasa sebagai pembeli untuk mendesak peniaga degil menurunkan harga barangan selepas penurunan harga petrol dan diesel yang semakin menurun sejak akhir tahun lalu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Samsudin Abu Hasan berkata, sudah tiba masanya setiap pengguna memainkan peranan penting bagi memastikan peniaga tidak sewenangnya menentukan harga barangan.

Menurutnya, pemerkasaan pengguna juga perlu dilakukan supaya peniaga tidak bertindak sesuka hati menaikkan harga barangan.

“Harga barangan ditentukan oleh kuasa pasaran itu sendiri berdasarkan faktor permintaan dan penawaran oleh pembeli dan peniaga,” katanya.

Tambahnya, jika sebelum ini peniaga cepat menaikkan harga apabila harga minyak naik, sekarang penurunan harga minyak berada pada paras paling rendah, maka penurunan harga harus berlaku.

“Sudah tiba masanya pengguna memainkan peranan memastikan kita dapat meningkatkan keupayaan masyarakat dengan menggunakan kuasa membeli yang ada ,” katanya selepas mengadakan tinjauan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2016 di Pasar Raya Econsave, di sini.

Samsudin yang juga Adun Ayer Kuning turut mengingatkan semua peniaga menjual barangan harga terkawal mengikut harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah menentukan harga maksimum borong dan runcit bagi 12 jenis barangan harga terkawal untuk dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2016.

“Peniaga juga diingatkan agar meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barang-barang lain.

“Penentuan ini dibuat agar penguatkuasaan kawalan harga adalah lebih berkesan selain penawaran harga yang berpatutan untuk barangan perlu memberi manfaat pengguna dan peniaga,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");