TEMERLOH – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menubuhkan Skuad Prihatin Perkeso bagi memantau kes kemalangan yang disiarkan di media massa membabitkan individu yang mencarum dengan pertubuhan itu.
Pengurus Besar Cawangan Faedah Ibu Pejabat Perkeso, Ismail Abi Hashim berkata, sejak ditubuhkan September tahun lalu itu, semua pegawai di negeri dan daerah akan memantau apa juga kemalangan yang disiarkan di media cetak dan elektronik yang membabitkan pencarum Perkeso.
Menurutnya, kes-kes kemalangan yang dipaparkan dalam media massa itu akan disemak dan sekiranya berkaitan, pegawai Perkeso akan berhubung dengan pihak berkuasa seperti polis, bomba, forensik, majikan pekerja dan lain-lain untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa.
“Perkeso mencatatkan jumlah kes sebanyak 400 yang dapat dikenal pasti di seluruh negara sejak ditubuhkan September 2015 membabitkan pencarum Perkeso dalam pelbagai jawatan.
“Perkeso akan mengambil pendekatan proaktif memberi bantuan segera seperti faedah pengurusan jenazah sebanyak RM1,500 kepada orang tanggungan yang layak seperi balu,” katanya.
Ismail berkata demikian kepada media selepas menyampaikan cek bantuan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM1,500 kepada Junida Mohamed, 40, balu kepada Allahyarham Anuar Mahudin, 45, kerani am Pejabat Pemasaran Akhbar Utusan Malaysia Cawangan Temerloh di Kampung Sungai Rabit, semalam.
Anuar maut apabila motosikal yang ditunggang terbabas pada 9 Februari 2016 dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu.
Mangsa, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, semasa kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar Temerloh ke rumahnya di Kampung Sungai Rabit di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian selepas melepasi bonggol, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dan terseret di atas jalan.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.
Mangsa yang mula berkhidmat bersama Utusan Malaysia sejak 1997 meninggalkan seorang balu dan lima anak perempuan berusia antara lapan hingga 21 tahun.
Zundin berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-Sinar Harian