Membawang Hari Ini

Promosi single anak didik

Demi cintanya kepada lagu Melayu asli, penyanyi Noraniza Idris, 47, sanggup ‘turun padang’ untuk mempromosikan single artis sulung yang bernaung di bawah syarikatnya iaitu Mohammad Ihab Ismail berjudul Puncak Gapura.

Single ketiga penyanyi itu yang turut menampilkan Noraniza bertujuan membantu memperkenalkan artis itu kepada pendengar.

Menurut Noraniza, Ihab yang bertugas sebagai doktor tidak mempunyai banyak masa terluang mempromosikan single terbarunya lantas dia mengambil pendekatan bertemu media sendiri.

“Saya tampil menyumbangkan suara dalam lagu itu untuk membantu Ihab supaya segera dikenali ramai. Sebelum ini Ihab sudah ada dua single iaitu Akar Zapin Kita dan Pahlawan Zafana, namun pendengar kurang mengenali pemilik suara di sebalik lagu itu.

“Meskipun begitu, lagu Pahlawan Zafana pernah menang Lagu Pop Etnik Terbaik pada AIM2013 (Anugerah Industri Muzik 2013) dan Akar Kita Zapin juga menang kategori sama pada AIM2014. Selain menyanyi, Ihab juga boleh mencipta lagu dan menulis lirik apabila dia mengilhamkan sendiri lagu Pahlawan Zafana dan berkongsi menulis liriknya dengan Ahmad Fedtri Yahya,” katanya.

Jelas Noraniza lagi, dia berharap lebih ramai artis muda tampil menyanyikan lagu tradisional. Dia yang sudah 30 tahun memperjuangkan genre lagu itu bimbang lagu itu semakin dilupakan.

Ihab yang fasih berbahasa Arab kerana pernah menetap di Timur Tengah mengikuti bapanya bertugas di sana merakamkan Puncak Gapura dalam dua versi iaitu bahasa Malaysia dan Arab.

“Di rumah, Ihab dan ahli keluarganya lebih selesa bertutur bahasa Arab daripada bahasa Malaysia,” katanya.

Selain Ihab, dua lagi artis di bawah syarikatnya ialah anaknya sendiri iaitu Fee Haiqal dan El’zzay.

Menceritakan pembabitan Haiqal dalam arena seni suara, Noraniza berkata, sebelum ini dia tidak tahu pun anak bongsunya itu boleh menyanyi kerana Haiqal lebih aktif dalam bidang modeling dan pernah menyertai pertandingan Mr Planet.

“Ketika saya mengadakan bengkel muzik di seluruh negara dan dia turut serta membantu, barulah dia menunjukkan bakatnya dalam bidang nyanyian dengan cuba mencipta lagu. Dia tidak pernah menyanyi depan saya kerana malu. Haiqal juga boleh bermain gitar dan suka bereksprimentasi dengan jalur muziknya sendiri yang lebih moden,” katanya.

“Single pertamanya akan keluar selepas Aidilfitri nanti. Sebagai pengenalan dia pernah menyanyi lagu raya bersama saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noraniza baru dilantik sebagai duta Yayasan Pembangunan Insan Nusantara Malaysia (YAPINM) selama tiga tahun sejak 27 November tahun lalu.

Walaupun dia sibuk dengan program pembangunan insan melalui pendekatan keusahawan budaya dan pelancongan sejak 2012 menerusi program siri jelajah Akar Kita Zapin anjurannya sendiri, namun Noraniza berasakan pelantikan itu selari de­ngan matlamat yang diperjuangkannya.

“Tiga puluh tahun saya berusaha mempertahankan irama tradisional dan saya berharap dengan YAPINM saya dapat menumpukan kepada pembangunan seni dan budaya dalam industri muzik tanah air khasnya. Saya mahu terus memartabatkan genre tradisional dan etnik agar terus seiring dengan peredaran semasa,” katanya.

Realiti TV Zapin Mania

Noraniza yang sudah tiga tahun mengadakan siri jelajah Akar Kita Zapin di seluruh negara untuk mencari pelapis dalam seni tari itu merancang mewujudkan program realiti TV Zapin Mania, tahun ini.

“Pemilihan akan bermula Mei ini apabila kami akan berada di setiap lokasi terpilih selama tiga hari. Kemuncak pertandingan ialah pada 22 April 2017 apabila lapan kumpulan akan dipilih untuk merebut juara musim pertama Zapin Mania,” katanya.

Noraniza bukan hanya mencari bakat seni tari tradisional itu dalam negara tetapi turut diperluaskan ke Brunei, Singapura dan Indonesia yang dikenali dengan nama Zapin World International Zapin Cultural Heritage.

“Peserta dari tiga negara itu akan turut bertanding dalam program realiti TV itu dan mereka sudah pun bersedia. Dalam pemilihan itu nanti saya dan pasukan akan mencari mereka yang benar-benar berbakat agar dapat mengharumkan nama negara apabila bertanding dengan peserta luar nanti,” katanya.

Noraniza juga akan menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat peminatnya apabila dia akan muncul dalam program terbitan RTM, Lantera Muzika pada 5 April ini.

Pada program itu nanti dia akan menyanyi 20 lagu termasuk lagu pertama yang dinyanyikan ketika mula-mula bergelar penyanyi.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");