Panasnya Hari Ini

Punca Masalah UMNO Bukan Saya Tapi Najib- Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin menyatakan bahawa yang menjadi punca kepada masalah UMNO kini adalah Presiden parti itu sendiri dan bukan disebabkan olehnya.

Muhyiddin, dalam kenyataan media pada Sabtu berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO gagal menangani krisis kepimpinan parti yang berpunca daripada penglibatan Najib dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion sehingga kini tidak dijelaskan dengan sepenuhnya oleh beliau.

“MT tidak berani bertanya Najib jika benar RM2.6 bilion itu wang parti, kemana perginya wang itu selepas akaun ditutup pada 2013.

“MT juga tidak bersedia bertanya Najib mengenai tuduhan wang SRC International berjumlah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun Najib.

“Skandal yang menyelubungi Najib telah memberi imej yang amat teruk kepada parti, kerajaan dan memalukan rakyat,” katanya.

Menerusi kenyataan itu juga Muhyiddin mendedahkan bahawa beliau telah diberitahu mengenai isu yang menyelubungi Najib  oleh mantan Peguam Negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang jelas merupakan ia satu perbuatan jenayah.

” Saya beristighfar!

“Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi Najib. Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib.

“Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib,” katanya lagi.

Beliau turut membidas ahli MT yang disifatkannya lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap dirinya.

“Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT.

“Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya.

“Walau bagaimanapun, saya tidak akan merayu,” katanya.

Tegasnya lagi, pada peringkat awal, terdapat beberapa pemimpin utama UMNO datang menemui beliau dan mengadu hal mengenai pelbagai skandal yang menyelubungi Najib dan isterinya.

“Mereka meminta saya melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan.

“Mereka bimbang UMNO akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti.

“Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara bersendirian,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pemimpin UMNO tersebut bersama-sama secara kolektif menasihati Najib supaya dapat memperbaiki kesilapannya demi menyelamatkan UMNO dan negara.

“Malangnya, mereka tidak berani menasihati Najib.

“Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil tanggungjawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam mesyuarat kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara terbuka.

“Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya.

“Hari ini, orang-orang inilah yang paling lantang mengecam saya,” ulasnya lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");