Berita Hari Ini

Rahsia kerajaan: Wartawan bukan penjenayah

JOHOR BAHRU – Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali diminta mencari penyelesaian terbaik berhubung isu berita membocorkan rahsia rasmi kerajaan tanpa perlu mendakwa wartawan seperti seorang penjenayah.

Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak berkata, wartawan hanya menjalankan tugas melaporkan berita mengikut etika kewartawanan yang telah digariskan.

Menurutnya, kesahihan berita bergantung kepada sumber dan tidak boleh merujuk kepada wartawan semata-mata untuk membuktikan kesahihannya.

“Pada kita kena siasat siapa yang sebenarnya atau dalang yang membocorkan rahsia kerajaan, bukannya sibuk hendak mendakwa wartawan seperti seorang penjenayah.

“Wartawan biasanya tahu apa yang boleh dilaporkan atau apa yang tidak boleh dilaporkan, dan kalau sesuatu berita yang tidak mengikut etika memang tidak akan disiarkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohamad Fauzi yang juga Ketua Berita Astro Awani Johor berkata, adalah lebih baik wartawan diberi peluang memberi penerangan, berbanding terus diheret untuk didakwa.

Menurutnya, ia seolah-olah dilihat tidak adil jika berdepan dakwaan setiap kali menyiarkan berita yang menjentik kerajaan.

“Kita memang tak setuju sama sekali jika ada cadangan untuk mendakwa atau meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia kerajaan termasuk wartawan yang melaporkan.

“Selama ini media cetak dan elektronik arus perdana telah melaporkan berita yang terbaik untuk pihak kerajaan. Adalah tidak adil jika sesekali terlepas pandang sesuatu berita akan terus dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");