Membawang Hari Ini

Rahsia ‘otai’ terus bertahan

Perjuangan penyanyi dulu dan sekarang berbeza. Dulu, untuk bergelar penyanyi tidak saja perlukan bakat juga usaha dan pendirian teguh terhadap lagu yang diperjuangkan.

Malah untuk penyanyi muncul di televisyen dan radio juga bukan hal mudah kerana perlu tapisan dari pelbagai arah.

Lagu nyanyian mereka juga ada makna tersendiri terutama pada isu yang melanda pada masa itu dan relevan sehingga kini.

Itu antara perkongsian menarik saat bertemu dua ‘otai’ muzik tanah air, Datuk Ramli Sarip dan Datuk M Nasir tatkala berkongsi rahsia terus bertahan sampai kini dalam industri muzik yang saban tahun cuba diisi artis baru.

Ramli, 63, akui penyanyi sekarang mempunyai kelebihan teknologi terkini untuk mempamerkan lagu mereka kepada khalayak.

“Jika dulu stesen televisyen hanya ada satu menyebabkan penyanyi terpilih sahaja yang dapat membuat persembahan di TV dan radio.

“Peminat dan penyanyi hanya dapat peluang sekali setahun dan selebihnya secara ‘live’ di pentas terbuka. Pemilihan lagu juga ditentukan syarikat rakaman. Yang kuat akan terus berjuang dengan lagu sendiri,” katanya.

Kata Ramli, dulu mereka berjuang untuk pastikan bakat diterima dan buktikan mereka bagus sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Ketika itu dia sendiri tidak mempunyai impian sebegini tinggi tapi dia yakin muzik yang dibawa kini boleh diterima.

Penyanyi lagu Teratai dan Bukan Kerna Nama itu percaya setiap penyanyi ada tahap (level) berbeza dan mereka akan masuk ke alam pelbagai.

Ia sama seperti manusia lain yang akan menempuh segala jenis alam seperti alam kanak-kanak, remaja, dewasa dan perkahwinan.

“Itu semua arah tuju yang perlu diterima dan dilalui. Ia juga boleh jadi sesuatu yang peribadi. Saya percaya dengan apa yang saya rasa buat masa ini.

“Saya hanya nikmati kerjaya dan berkongsi pengalaman. Kita rasa benda itu bukan penyebab kepada semuanya tapi ia sebab kita ada banyak pengalaman.

“Hal-hal ini boleh jadi sejarah penting. Contohnya lagu walaupun satu saja, ia boleh beri kesan sejarah kepada seseorang. Kalau tak yakin, baik jangan buat sebab ada rasa was-was,” katanya mengimbas kembali saat perjuangan muzik rock yang didakwa sebagai budaya kuning satu ketika dulu.

Hal sama dikongsikan M Nasir, 58, yang tidak hanya dikenali sebagai penyanyi tetapi juga komposer, pemuzik dan pelakon hingga digelar ‘sifu’.

Katanya, pada waktu kemunculannya, impian ke mana dan sasaran masa depannya samar-samar. Apa yang dia tahu ketika itu ialah mahu menjadikan kerjaya penyanyi itu miliknya.

“Macam mana ia jadi, kita tidak nampak sangat. Tapi bila sudah lalui dan ada peluang lain yang bersangkut, kita akan nampak gambaran lain pula.

“Yang penting waktu itu ialah mahu menjadi penghibur. Mula-mula kita hanya boleh bayangkan benda yang kita faham tapi yang jadi sekarang jauh berbeza,” katanya.

Menurutnya, media kini menunjukkan peluang jadi artis itu mudah terutama dengan adanya program realiti hiburan.

Katanya, dulu sukar sebab permintaan hiburan biarpun tinggi, ruang media itu sangat terhad. Sebab itu juga mereka banyak melakukan cara mereka sendiri, sekali gus membuatkan mereka lebih kuat.

“Sekarang ada saja bakat boleh masuk mana-mana program realiti dan mereka terus mendapat publisiti. Disebabkan itu, kekuatan mereka lambat dibina. Ketahanan mereka tidak lama sebab akan ada orang lain berebut-rebut masuk saban tahun dan akhirnya dia juga cepat putus asa,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi dan Apokalips itu mengakui orang muda zaman ini tidak tahu apa yang nak disoal kerana berpendapat mereka tidak mengalami yang dilalui orang dahulu.

Malah untuk bertahan setakat ini bukan hal mudah. Ada yang dilahirkan jadi penyanyi dan menerima populariti kerana ada bakat dan ada yang orang lain tolong buatkan.

Tetapi ada yang berjuang sendiri, hendak menyanyikan lagu dan genre sendiri, umpama perkembangan muzik rock dulu.

“Ia satu muzik yang pada awalnya orang berhati-hati untuk terima tetapi mereka berani untuk keluarkan sebab yakin kalangan mereka ramai yang suka. Jadi, mereka berjuang dengan muzik sebegitu.

“Padahal waktu itu, muzik rock dianggap baru bagi pende­ngar dan pasaran Melayu. Malah tidak semua orang boleh terima,” katanya.

Sedia bersoal jawab

Sama-sama membina nama bersama kumpulan muzik, kini dikenali solo, Datuk Ramli Sarip dan Datuk M Nasir berganding bahu turun padang ke pusat pengajian tinggi menjayakan Ramli & Nasir University Tour di institusi pengajian tinggi.

Melalui program itu, mereka tidak saja menghiburkan dengan muzik dibawa, malah sedia bersoal jawab dengan remaja yang dianggap perlu didedahkan dengan isu sebenar dalam memilih kerjaya sebagai penyanyi.

Kata Ramli, golongan universiti adalah pelapis generasi yang bijak dan mereka harus ada peranan. Artis dulu kebanyakannya lahir daripada jalanan dan pengorbanan artis dulu serta sekarang berbeza.

“Saya tidak kata saya besar atau popular tapi saya rasa masih relevan. Bagi saya, ia satu pencapaian buat saya dan M Nasir. Kita tidak tahu bila kita akan berhenti atau dihentikan tetapi itulah yang nak dikongsikan.

“Apa saja bidang kita buat, pekerjaan adalah kehidupan dan ia adalah satu tanggungjawab,” katanya.

Ramli akui baru-baru ini ada bertemu peminat berusia dalam kalangan orang masjid dan berkongsi mengenai halangan kepada ‘showcase’ sedia ada.

“Saya mendekati mereka dan ia memberi inspirasi kepada saya untuk cari apa yang mereka mahu dan minat. Hal sama akan dilakukan untuk sesi jelajah nanti.

“Saya dan Nasir akan adakan sesi pertemuan empat mata dan menerima soalan daripada mereka,” katanya.

Konsert kali ini akan pastikan 50 peratus lagu untuk kepuasan mereka dan selebihnya untuk kepuasan pelajar sebagai hiburan.

Ramli berpendapat, jika disekat dan terlalu meleret-leret, ia akan buatkan golongan muda ini gelisah dan bosan.

Namun begitu, lagu yang akan dipersembahkan berkait rapat dengan falsafah dan kehidupan seperti judul Pelarian yang pernah dimuatkan dalam album Pelarian pada 1980 atau lagu Warisan Alam yang berkaitan dengan situasi pencemaran dan hakisan ketika diterbitkan pada 1989.

“Sebagai artis, kena ada peranan untuk bercakap. Kadangkala kena ada orang untuk bercakap soal ini. Tapi ia sesuatu yang subjektif dan kalau tak kuat, kita akan tergadai dan begitulah sebaliknya.

“Selama pengalaman, katakan ada 100 orang yang datang, jika 10 yang bertanya secara peribadi, ia sudah beri kepuasan sebab kita tahu mereka ambil tahu dan lakukan kajian,” katanya gembira.

Siri Jelajah Universiti dibawakan Mewah Event & Management bermula 27 Februari ini di tujuh institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan satu universiti di Singapura.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");