PENGURUS Leicester City, Claudio Ranieri menepis dakwaan kononnya pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semakin diasak tekanan menjelang kunjungan ke Arsenal yang juga pencabar utama gelaran liga, malam ini.
The Foxes sebelum ini tidak diletakkan sebagai pencabar kejuaraan EPL, bagaimanapun selepas pasukan itu mengalahkan Manchester City minggu lalu, pasukan itu dilihat mampu melakukan kejutan dengan bergelar juara.
Leicester berpeluang menjarakkan diri kepada lapan mata ke atas Arsenal jika menang di Stadium Emirates.
Menurut Ranieri, status baharu sebagai pasukan pilihan adalah sesuatu yang harus dinikmati oleh barisan pemainnya.
Pengendali dari Itali itu sebaliknya berkata, tekanan itu sebenarnya terarah kepada pasukan lain bukannya Leicester City.
“Wang dan jurang yang besar? Saya tidak menafikan kami mempunyai tekanan kerana jurang mata yang kecil, tetapi Arsenal lebih merasai tekanan kerana mereka sudah membelanjakan wang yang banyak.
“Beritahu saya kenapa saya perlu berasa tertekan? Kami semakin hampir untuk merealisasikan ‘mimpi’ bersama penyokong kami. Jangan ada sesiapa pun yang kejutkan kami daripada tidur,” katanya.
Pada pertemuan terakhir September lalu, keputusan memihak kepada Arsenal 5- 2 hasil jaringan hatrik Alexis Sanchez dan ia adalah satu daripada dua kekalahan dialami Leicester pada musim ini.
-Sinar Harian