Berita Hari Ini

Risalah virus Zika disediakan di pintu masuk negara

SEGAMAT – Kementerian Kesihatan menyediakan risalah mengenai bahaya virus Zika di pintu masuk utama laluan udara negara sebagai pendedahan kepada orang ramai tentang bahaya virus tersebut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kerjasama daripada rakyat amat penting dan mereka perlu sedar akan risiko bahaya virus tersebut jika masuk ke negara ini.

“Kita tidak boleh lakukan pemeriksaan terhadap semua pesawat yang masuk ke negara ini memandangkan bahawa tidak ada penerbangan terus dari 24 negara yang dilanda virus tersebut.

“Ini merupakan satu cabaran besar buat kementerian kerana mereka yang dijangkiti virus boleh masuk ke Malaysia menerusi pelbagai negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Segamat anjuran ahli lembaga pelawat hospital itu di sini hari ini.

Katanya kerajaan sentiasa memandang serius perkara ini dan akan sentiasa berusaha menyekat kemasukan virus Zika ke negara ini.

Beliau berkata negara akan berdepan dengan ancaman serius sekiranya virus Zika mula masuk ke Malaysia kerana kes denggi yang tinggi di negara ini akan mempercepatkan lagi penularan virus tersebut.

Oleh itu, Dr Subramaniam meminta agar orang ramai menangguhkan perjalanan ke 24 buah negara yang telah disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan.

“Sekiranya ada rakyat Malaysia yang baru balik dari negara yang dijangkiti virus Zika, mereka perlu segera melaporkan perkara tersebut kepada pihak hospital berhampiran agar ianya tidak merebak,” kata beliau.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengeluarkan garis panduan kepada orang ramai bagi menyekat kemasukan virus Zika ke negara ini, termasuk tidak mengalakkan orang ramai ke luar negara terutama ke negara di Amerika Selatan.

Antara negara yang terlibat ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Curacao, Republik Dominica, Ecuador, El Salvador, Guiana Perancis, Guadaloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Surinam, Virgin Islands (Amerika Syarikat) dan Venezuela.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi menaik taraf bangunan Hospital Segamat secara berfasa.

Beliau berkata projek tersebut adalah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan hospital tersebut yang kini menerima jumlah pesakit yang tinggi.

“Projek menaik taraf secara berperingkat itu dijangka siap dalam masa dua atau tiga tahun ini dan Hospital Segamat akan mampu menambah bilangan pesakit dengan tambahan 256 buah katil pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata Hospital Segamat dahulu hanya dikenali sebagai hospital umum kini telah melalui proses naik taraf kepada hospital pakar.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");