Membawang Hari Ini

‘Sebulan tanggung malu…’

Tanggal 23 Januari lalu Zehra sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya. Bagaimanapun, sudah suratan takdir impian indah itu tidak kesampaian.

Biarpun sudah menempah dewan dan busana pengantin, Zehra, 29, terpaksa akur pertunangan yang terpateri pada 14 Jun 2015 terputus di tengah jalan.

Meskipun sukar menelan hakikat itu, Zehra sedia berkongsi kisah sedihnya untuk tatapan peminat.

“Kalau diikutkan saya susah jatuh cinta, tetapi keluarga yang mengaturkan pertemuan dengan jejaka berusia 40-an ini dengan harapan kami ada jodoh.

“Saya memang sukakan lelaki matang dan masih bujang. Hampir tiga bulan berkenalan, saya akhirnya tertarik dengan dia. Apatah lagi dia pilihan keluarga, jadi tidak ada alasan untuk saya menolaknya.

“Saya ingatkan dia yang terbaik, tetapi apabila pertunangan kami putus dua bulan selepas itu, saya berasa sangat kecewa, patah semangat dan ambil masa selama sebulan untuk bangkit semula,” katanya.

Zehra berkata, sepanjang bertunang dia cuba untuk lebih mengenali bakal suaminya itu, tetapi hampa apabila tidak dipedulikan.

“Saya mahu lebih rapat dengannya, tetapi dia selalu beri alasan sibuk dengan kerja dan tidak mahu ganggu saya yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Pengurusan Komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Sepanjang bertunang kami hanya keluar dua kali sahaja. Hubungan kami dingin dan kurang komunikasi sedangkan dalam tempoh bertunang saya persiapkan diri untuk berkahwin dengannya.

“Saya sanggup ketepikan banyak perkara deminya malah belajar memasak dan hantar makanan kepadanya. Bahkan saya juga tidak kisah tinggalkan dunia hiburan jika itu permintaannya.

“Mungkin menjawat jawatan tinggi menjadikan dia terlalu formal dan tidak biasa dengan situasi yang dilalui. Saya dapati ada pertikaian di situ dan ambil langkah untuk mengundur diri,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik ini bagaimanapun bersyukur kerana keluarga memahami dan tidak menyalahkannya.

“Memang keluarga yang mengatur pertemuan kami, tapi dia yang melamar saya. Tiga bulan awal perkenalan dia memang baik dan sangat mesra. Bagaimanapun, saya anggap ini karma kerana sebelum ini banyak kecewakan lelaki.

“Allah sudah aturkan perjalanan yang baik buat saya. Namun, sebulan juga saya tanggung malu kerana ramai pihak ternanti-nanti jemputan kahwin.

“Sokongan moral yang diberikan keluarga dan rakan buat saya kembali bersemangat,” katanya.

Sertai Ikon Siarawan

Dalam pada itu, Zehra yang pernah tampil dengan album berkonsep irama tradisional, kini menyahut cabaran dengan menyertai program Ikon Siarawan musim ketiga terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang akan bersiaran di TV2 pada 20 Februari ini, jam petang.

Program ini diwujudkan bagi mencungkil bakat wartawan, penyampai berita, pengulas sukan, penyampai radio dan pengacara TV.

“Sebelum ini saya pernah menyertai banyak program anjuran RTM termasuk Golden Teen Search. Saya juga pernah menjalani latihan amali di Unit Berita RTM pada 2008. Saya sudah tahu cara kerja di RTM.

“Saya dah ada pengalaman, jadi sayanglah sekiranya saya tak fokus pada kerjaya ini. Tujuan saya adalah untuk cari kerjaya tetap dan kukuh. Pun begitu nyanyian tetap minat utama malah masih menerima undangan menjayakan persembahan terutama di pedalaman Sarawak.

“Saya sudah siapkan diri untuk menyertai program ini dan tak kisah sekiranya tewas di tangan peserta lain. Ini bukan program nyanyian yang menjadi ‘forte’ saya. Pada saya Ikon Siarawan adalah medan pencarian ilmu.

“Orang boleh kata apa saja termasuk ketika saya menyertai program Gadis Melayu TV9 pada 2008, tapi saya tahu apa yang diinginkan dalam hidup. Saya positif mencari ilmu dan peluang kerjaya di RTM,” katanya yang bercadang bekerjasama dengan komposer terkenal Pak Ngah menghasilkan single terbaru selepas program itu berakhir.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");