Membawang Hari Ini

Semangat baru Sabrina

Selepas sekian lama menyepi, pelakon Sabrina Ali, 35, kembali dengan semangat baru.

Selain bakal muncul dengan filem Munafik pada 25 Februari ini, anak saudara kepada penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam ini membawa satu lagi khabar.

Tidak mahu lagi berselindung, Sabrina menjelaskan dia sudah bercerai dengan suaminya, Syed Amirul Syed Ahmad pada Ogos 2014.

“Sejak berkahwin kali kedua, saya memilih untuk memperlahankan kerjaya seni. Ditambah pula dengan kehadiran dua cahaya mata, saya tidak bersemangat untuk berlakon.

“Namun, siapa sangka perkahwinan saya berakhir dengan perceraian. Ramai beranggapan ia berpunca daripada jarak umur kami yang mana dia lebih muda, tetapi bukan itu penyebabnya.

“Apabila sudah tidak ada lagi persefahaman, macam-macam boleh jadi. Namun, biarlah segala masalah itu menjadi rahsia saya,” katanya.

Jelas Sabrina, sepanjang dua tahun bergelar ibu tunggal hidupnya sangat susah, apatah lagi perlu membesarkan dua anak lelaki yang masih kecil.

“Ketika bercerai, anak sulung kami baru berusia tiga tahun dan adiknya pula setahun. Ikutkan awal 2014 lagi bekas suami sudah tinggalkan kami anak-beranak.

“Diakui sepanjang dua tahun, saya perlu kuat untuk meneruskan hidup dan membesarkan anak. Sehinggakan ada ketika saya murung kerana tidak tahu nak buat apa. Memang perit dibuatnya,” kata Sabrina yang mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan pertama.

Demi anak, Sabrina bangkit dan cuba keluar daripada segala masalah dihadapi. Memandangkan tidak lagi aktif berlakon, dia memilih kembali ke pentas peragaan dengan menjadi model sambilan.

“Alhamdulillah, apabila saya menyatakan hasrat mahu jadi model semula, rakan memberi sokongan. Dengan hasil kerja itulah saya dapat membesarkan anak.

“Saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Selagi mampu bekerja, saya akan berusaha. Setiap kali melihat wajah mereka, saya perlu kuat. Saya tidak akan menangis di hadapan mereka,” katanya.

Dia bersetuju membintangi Munafik dengan membawa watak Zeti selepas dipujuk sepupunya yang juga pengarah filem ini, Syamsul Yusof.

Menurut Sabrina, itu adalah jalan terbaik untuknya membebaskan diri daripada terus dibelenggu masalah.

“Apabila bersendirian saya mudah tertekan. Sejak membintangi filem ini, saya kembali bergaul dengan rakan artis dan ia keputusan yang bagus untuk saya.

“Sepanjang bergelar isteri orang, saya jadi seorang yang antisosial. Sekarang baru saya membuka semula akaun laman sosial,” katanya.

Ditanya adakah dia sudi membuka pintu hatinya untuk dicintai dan mencintai, Sabrina menegaskan dia belum bersedia.

“Buat masa sekarang saya selesa berkawan dengan semua orang. Soal cari pengganti, belum terfikir pun. Dalam diri ini masih ada perasaan takut, apatah lagi jika seseorang itu ada kekurangan dalam tingkah lakunya.

“Cukup saya katakan, sepanjang tiga tahun berkahwin tidak banyak kenangan indah dilalui. Biarlah segala kesedihan dan duka itu betul-betul berlalu pergi, baru saya akan fikir soal ini,” katanya.

Berkongsi mengenai filem Munafik, Sabrina berkata, ia petanda dirinya sudah bersedia untuk kembali aktif berlakon.

“Saya terharu apabila Syamsul menawarkan watak dalam Munafik. Dia mahu kami sama-sama kembali selepas agak lama berehat.

“Tidak dinafikan Syamsul menyuntik semangat baru, sekali gus mengembalikan kejayaan filem Khurafat dulu,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");