Panasnya Hari Ini

‘Gantung’ Muhyiddin,Tindakan Yang Mengecewakan Rakyat- Mukhriz

KUALA LUMPUR:Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno telah mengecewakan sebilangan besar rakyat malah alasan kepada tindakan itu juga tidak boleh diterima.

Ujarnya, langkah itu akan menguburkan nilai dan prinsip yang menjadi tunggak kekuatan Umno selama ini.

Beliau turut mengakui ada kemungkinan, juga desas-desus, bahawa penyingkiran Muhyiddin itu disebarkan jentera propaganda Presiden Umno untuk melihat reaksi ahli parti dan rakyat.

“Apabila Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggugurkan Muhyiddin, ia menghampakan sebilangan besar rakyat. Johor contohnya, tidak hanya kehilangan seorang anak Johor sebagai timbalan perdana menteri, tetapi juga potensi untuk anak Johor itu dinaikkan ke pangkat perdana menteri,” katanya.

Tambahnya lagi biarpun apa jua alasannya, seseorang pemimpin yang menang jawatan parti melalui pemilihan tidak boleh digugurkan daripada jawatan itu dengan sewenang-wenangnya.

“Dakwaan timbalan presiden tidak membantu presiden, malah mengkritik presiden dan ini cukup sebagai alasan untuk diambil tindakan, tidak boleh diterima sama sekali.

“Perlembagaan Umno tidak menghalang ahli atau pemimpin mempersoalkan isu-isu dibangkitkan oleh rakyat,” katanya memetik sumber sinar harian.

Beliau turut membidas sebilangan pemimpin Umno, tanpa menilai diri sendiri dan tanpa segan silu berani memperlekehkan teguran pemimpin akar umbi.

“Hakikatnya, pemimpin kaki ampu inilah sebenarnya merupakan pengemudi yang sedang membawa haluan Umno tersasar daripada perjuangan asal dalam membela dan mempertahankan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa ahli Majlis Tertinggi kebelakangan ini lebih bersifat mengampu presiden dan menghalalkan kebatilan.

“Saya percaya sebilangan mereka bakal menjadi ‘pendakwa-pendakwa’ yang juga ingin membuktikan jasa dan peranan dalam mempertahankan presiden.

“Sedarkah kita bahawa rata-rata orang muda meluahkan perasaan meluat dan menyampah dengan Umno akibat angkara pemimpin tertinggi parti?” katanya.

Ujarnya lagi sekiranya Muhyiddin dianiaya, beliau percaya bahawa ramai ahli dan orang Umno akan meninggalkan parti, apatah lagi mereka yang berada di atas pagar, tetapi tetap menyokong Umno selama ini.

“Inilah amaran yang disampaikan oleh begitu ramai orang Melayu kepada saya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");