Membawang Hari Ini

Tak minat ‘kerusi’ pengarah

Namanya tidak perlu diperkenalkan lagi di persada hiburan tanah air. Lebih sedekad berkecimpung dalam bidang lakonan, Adi Putra masih menjadi pilihan ramai penerbit dan pengarah.

Malah, pelakon popular kelahiran Singapura itu terus diberi kepercayaan beraksi sebagai hero dalam filem seperti Anak Halal, Aku Terima Nikahnya, KL Gangster 2, Suami Aku Ustaz dan Isyarat Cinta. Antara drama popularnya ialah Teduhan Kasih dan Zahira.

Mengulas perkara itu, pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim ini bersyukur dengan pencapaiannya.

“Apa yang dikecapi hari ini berkat kerja keras dan usaha yang bukan sedikit. Apa yang dilalui selama ini adalah pengalaman cukup berharga sebagai pelakon.

“Pada usia 35 tahun, saya terus diberi kepercayaan beraksi dalam drama dan filem. Saya percaya peningkatan usia menjadi pengukur kepada perkembangan kerjaya seni, sekali gus menonjolkan kematangan sebagai pelakon,” katanya.

Ditanya tidakkah risau namanya merudum dengan kemunculan ramai bakat baru, Adi Putra mengakui bersedia berdepan dengan apa saja kemungkinan.

“Saya tidak risau soal populariti kerana pernah menikmati zaman kegemilangan. Jika mahu bertahan dalam industri kita perlu tahu apa yang harus dilakukan bagi mengekalkan populariti sedia ada,” katanya.

Beralih perancangan masa depannya, Adi mahu melebarkan sayap sebagai penerbit satu hari nanti.

“Ramai rakan seperjuangan sudah bergelar pengarah, tetapi saya masih selesa berlakon sampai hari ini. Saya tidak berminat duduk di kerusi pengarah kerana tahu kemampuan diri.

“Lebih baik saya fokus dalam bidang lakonan dan kalau ada rezeki mahu bergelar penerbit,” katanya.

Selain rancak memenuhi tawaran lakonan, Adi turut sibuk mengendalikan perniagaan agensi umrah syarikatnya.

“Saya perlu bijak membahagikan masa antara karier seni, bisnes dan rumah tangga. Sesibuk manapun, keluarga tetap nombor satu. Rumah tangga kami bahagia dan saya bersyukur kerana isteri memahami kesibukan saya menguruskan bisnes,” katanya.

Tidak pilih bulu

Jika segelintir pelakon senior tidak selesa digandingkan dengan pendatang baru, sebaliknya buat Adi. Sebagai pelakon berpengalaman, Adi tidak kisah digandingkan dengan heroin baru kerana baginya setiap pelakon ada kelebihan tersendiri.

Terbaru, Adi digandingkan dengan Mira Filzah, 22, dalam drama 28 episod, Cinta Si Wedding Planner yang bersiaran di Slot Akasia, TV3.

“Saya juga pernah melalui fasa seperti Mira dan pelakon baru lain. Ketika itu saya teringin bergandingan dengan pelakon senior seperti Datin Seri Umie Aida dan Erra Fazira.

“Sebab itulah saya tidak menolak jika penerbit dan pengarah mahu gandingkan saya dengan pelakon baru. Saya faham perasaan mereka dan menjadi tanggungjawab saya membantu mereka,” katanya.

Pelakon berjiwa besar ini juga tidak lokek berkongsi ilmu dengan pelakon baru.

“Jika digandingkan dengan heroin baru, saya akan luangkan masa bersama mereka. Begitu juga ketika bekerja dengan Mira. Saya berusaha masuk dalam dunianya bagi memastikan dia selesa berpasangan dengan saya.

“Mira bersungguh-sungguh mahu belajar dan dia berjaya menghidupkan watak Izara Batrisya dengan baik,” katanya.

Berkongsi perkembangan lain, Adi berasa dirinya dihargai apabila dilantik sebagai duta Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016).

Adi bergandingan dengan dua pendatang baru iaitu Syarul Ridzwan dan Janna Nick mempromosikan acara berkenaan.

“Saya bertuah terpilih sebagai duta DFKL2016. Selain menjayakan bengkel dan sesi jelajah, saya turut membantu mempromosikan acara ini di laman sosial dan malam anugerah DFKL 2016.

“Saya berharap acara ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Tidak ketinggalan, Adi juga bakal muncul dengan drama raya Cinta Si Wedding Planner di TV3.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");