Berita Hari Ini

Terapkan binaan beridentitikan kebangsaan

CYBERJAYA – Kepentingan menerapkan binaan beridentitikan kebangsaan dalam projek pembangunan akan dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya, kata Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Rais, yang juga Pengasas Yayasan Warisan Negara berkata satu pertemuan dengan Kementerian Kerja Raya akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

“Ia bukan satu permintaan baharu,” katanya ketika melancarkan buku e-Warisan Senibina di Universiti Multimedia (MMU) di sini hari ini, sambil menambah ia selaras dengan keputusan kerajaan pada 2009 iaitu setiap bangunan baharu yang dibina harus bercirikan tempatan atau Malaysia.

Rais turut menyarankan Universiti Awam (UA) yang menawarkan bidang Seni Bina menjadikan pengajian seni bina Melayu sebagai antara subjek pengajaran bagi memelihara warisan, sejarah dan kebanggaan orang Melayu.

“Usaha berterusan untuk mengekal dan memelihara warisan serta identiti masyarakat Melayu ini sangat penting kerana ia merupakan khazanah yang sangat bernilai kepada negara,” katanya.

Beliau turut menyarankan kepada pihak universiti untuk mewujudkan rumah rehat, wakaf atau tempat persinggahan bercirikan seni bina Melayu sebagai satu inisiatif mengekal dan memperkenalkan warisan itu kepada khalayak.

Sementara itu, Naib Presiden (Akademik) MMU Prof Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq yang juga pengarah projek buku e-Warisan Senibina berkata buku itu memberi tumpuan kepada senibina 19 bangunan meliputi masjid, rumah, rumah kedai, wakaf dan istana.

Buku dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris yang mengambil masa 18 bulan melibatkan 21 penyelidik untuk disiapkan itu, turut menyediakan pembinaan semula lukisan terukur, pembinaan model komputer tiga dimensi dan visual bahagian yang dibangunkan sebagai simulasi masa sebenar.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");