Berita Hari Ini

Tiada pembangunan di sekitar taman negara

JERANTUT – Sebarang projek pembangunan yang hendak dijalankan di Taman Negara Kuala Tahan perlu mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini untuk mengelakkan keindahan semula jadi di kawasan ekopelancongan yang menjadi tarikan pelancong terutama dari luar negara itu, terjejas.

“Kita tahu Taman Negara memang terkenal dengan khazanah alamnya yang berusia ratusan tahun dan perkara itulah yang menjadi tarikan pelancong yang tidak terdapat di tempat lain.

“Sehubungan itu, keindahan ini perlu dikekalkan dan perlu ditambah baik dengan produk-produk baharu supaya lebih ramai pelancong akan berkunjung ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan majlis ramah mesra bersama penggiat industri pelancongan Taman Negara Kuala Tahan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin serta Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang Idros Yahya.

Menurut Mas Ermieyati, pengekalan ekopelancongan di Taman Negara adalah penting dan selaras dengan pelan induk pembangunan ekopelancongan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar terus bekerjasama menjaga dan memulihara alam semulajadi negara yang selama ini banyak memberi manfaat dalam pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, secara purata dianggarkan seramai 80,000 pelancong antarabangsa datang berkunjung ke Taman Negara.

Terdahulu, Mas Ermieyati turut melawat pokok tualang berusia kira-kira 400 tahun, berketinggian 75 meter dengan ukuran lilit 18 pemeluk orang dewasa di Lubuk Nohong.

Ia merupakan produk terbaharu tarikan pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan.

Selain itu, beliau turut melawat perkampungan Orang Asli Dedari dan melawat Danz Eco Resort.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");