Sukan Hari Ini

Tidak boleh ambil mudah

Kuala Lumpur: Jika diberi peluang beraksi hari ini, pemain beregu lelaki negara, Tan Kian Meng berjanji akan memberikan persembahan terbaik walaupun hanya bertemu Sri Lanka pada perlawanan pertama Kejohanan Berpasukan Asia bagi kelayakan saingan Piala Thomas/Uber.

Kian Meng yang muncul naib juara Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia dalam acara beregu campuran bulan lalu, mengakui semuanya berjalan lancar di Stadium Tertutup GMC Balayogi.

“Sekarang ini kami masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang. Tapi saya rasa kami sudah mampu membiasakan diri sebelum turun beraksi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kian Meng yang akan berpasangan dengan Low Juan Shen bakal beraksi sebagai beregu pertama berdasarkan ranking.

“Semangat sepasukan juga saya lihat semakin membuak, semua pemain tidak sabar untuk turun beraksi. Saya rasa semua sudah bersedia untuk membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya.

Skuad kelayakan Piala Thomas negara yang diketuai perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dijangka tidak berdepan masalah mencatat kemenangan sulung bertemu Sri Lanka hari ini, begitu juga aksi kedua bertemu Nepal.

Cabaran paling getir adalah perlawanan terakhir menentang juara bertahan Piala Thomas Jepun untuk melengkapkan jadual Kumpulan B.

“Sekarang ini masih belum tahu siapa yang akan diturunkan untuk perlawanan pertama bertemu Sri Lanka, jika tidak salah saya mungkin bermain,” kata pemain berusia 20 tahun itu yang meletakkan sasaran peribadi untuk membantu Malaysia mara ke separuh akhir.

Ditanya apa yang harus diperbaiki menjelang aksi sulung itu, Kian Meng mengakui dia perlu menguatkan mental dan beraksi seperti biasa tanpa sebarang perasaan takut.

Selain Kian Meng, Juan Shen dan Iskandar, skuad berkenaan membabitkan Zulfadli Zulkiffli, Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Tan Wee Gieen dan Tan Chee Tean.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");