Sukan Hari Ini

TMJ cabar debat terbuka

PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar sesiapa yang tidak bersetuju dengan kenyataannya mengenai isu bola sepak untuk tampil berdebat terbuka melalui siaran televisyen.

“Saya cabar mana-mana pihak agar berdepan dengan saya dan berdebat secara terbuka mengenai polisi, projek, korupsi dan sebagainya serta cuba membuktikan bahawa saya salah.

“Usah bersetuju dengan saya jika saya salah. Kehidupan ini mudah, yang benar adalah benar, dan salah adalah salah. Ambil perhatian kepada apa yang saya katakan, kerana saya memerhatikan anda,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail pernah mempersoal Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP), Kevin Ramalingam mengenai tujuan sebenar penubuhan dan tugas badan berkenaan.

Dalam perkembangan berlainan Tunku Ismail menggesa pengurusan beberapa pasukan yang terlibat dalam isu tidak membayar gaji pemain supaya menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin.

Beliau turut menujukan gesaan terbabit kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Anuar Musa dan beberapa pimpinan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kebangsaan (FAM) supaya mengambil tindakan dan meneliti perkara terbabit agar ia dapat diselesaikan.

Menurutnya, bola sepak di negara ini semakin mundur bukan hanya disebabkan isu rasuah tetapi juga kerana mentaliti beberapa pihak yang lebih tertumpu kepada masalah kecil berbanding gambaran yang lebih besar untuk bergerak ke hadapan.

“Apabila saya bercakap tentang rasuah dan kekurangan semangat oleh beberapa organisasi bola sepak seperti badan induk bola sepak dan persatuan bola sepak negeri anda, semuanya berdiam diri.

“Kemudian selepas beberapa bulan kemudian, apabila terkena batang hidung sendiri barulah anda semua mula bising. Jangan tidak bersetuju dengan saya kerana anda cemburu dengan apa yang saya ada dalam hidup ataupun pencapaian saya,” katanya menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail turut meluahkan rasa kecewa terhadap perkara berkenaan selain memberitahu faktor tersebut juga antara sebab mengapa beliau tidak pernah menyokong penubuhan FMLLP.

“Kehebatan seorang lelaki bukan diukur melalui berapa banyak kekayaan yang dimilikinya, tetapi melalui integriti dan keupayaan beliau untuk mempengaruhi orang di sekelilingnya secara positif.

“Disebabkan itulah saya tidak menyokong FMLLP, kerana saya tahu bahawa mereka sekadar boneka FAM,” katanya.-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");