PERLAWANAN yang bakal menjadi medan menarik bagi pengendali Tok Gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi apabila berdepan bekas ‘sifu’, Zainal Abidin Hassan apabila melayan kunjungan Selangor dalam aksi Liga Super 2016 di Stadium Darul Makmur, di Kuantan, Sabtu ini.
Dalam perlawanan yang akan menjadi tumpuan buat penyokong kedua-dua pasukan, Selangor yang dianggap musuh tradisi buat Pahang, ia bakal menjadi medan untuk menguji kekuatan pasukan masing-masing.
Bagi Shaharuddin, beliau sedar pengalaman dan reputasi lebih memihak Selangor berikutan prestasi dan barisaan pemain yang dimiliki oleh The Red Giants berbanding Tok Gajah.
Namun ia tidak menggentarkan buat bekas pemain kebangsaan itu sebaliknya tetap meletakkan misi untuk meraih tiga mata menjadi milik tuan rumah walaupun kelebihan dilihat memihak lawan buat masa ini berbanding Pahang yang dibarisi sebahagiannya pemain muda dan baharu pada musim ini.
“Bagi saya tiada masalah yang ketara untuk melayan kunjungan lawan kerana kita begitu menghormati Selangor dan juga jurulatih pasukan itu yang juga sifu saya yang banyak membantu dalam soal kejurulatihan.
“Namun apabila bertemu dengan Selangor terutama berdepan bekas pemain Pahang, saya akui kelebihan dan kelemahan yang ada dalam diri pemain berkenaan akan membantu mengatur perancangan dari segi taktikal.
“Saya sudah mengenali mereka lama dan kini bersedia berdepan mereka kerana pemain saya juga sudah sedia untuk membolosi gawang lawan,” katanya di Kuantan, hari ini.
Menurutnya lagi, beliau mahukan barisan pemain yang diturunkan malam esok tidak mensia-siakan peluang yang diberikan dan menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin.
“Kekal fokus hingga ke wisel penamat dan berikan komitmen sehabis mungkin selain elakkan kesilapan mudah yang boleh mengundang padah buat pasukan,” tegasnya lagi.
Selain Zainal Abidin, empat bekas tonggak utama Pahang iaitu penjaga gol utamanya, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, bekas kapten, Mohd Razman Roslan, pakar sepakan percuma, Mohd hafiz Kamal dan pemain lincah, R.Gopinanthan berhjirah ke pasukan Selangor pada musim ini.-sinar harian