Kuantan: Jurulatih Pahang Ahmad Shaharuddin Rosdi sudah bersedia untuk menggalas cabaran utama apabila skuadnya melayan Terengganu II pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Beliau berkata, semuanya sudah dilakukan untuk memperkasakan skuad Tok Gajah biarpun peminat akan menyaksikan perubahan yang dilakukan Pahang dengan mempertaruhkan muka baharu.
Namun katanya, dengan gabungan pemain senior dan remaja diharap membentuk persefahaman mantap untuk memastikan kemenangan sebagai suntikan semangat mengharungi cabaran selepas ini.
“Saya akui tugas besar menanti memandangkan Terengganu II yang baru diserapkan dalam Liga Super begitu bersemangat untuk mencatat kemenangan pertama pada aksi sulung liga.
“Sebab itu saya sudah memaklumkan kepada pemain supaya bersedia sepenuhnya bukan saja fizikal dan taktikal, malah mental untuk menjadikan aksi sulung ini berakhir dengan genggaman tiga mata,” katanya di sini semalam.
Shaharuddin turut mengesahkan empat pemain import German Pacheco, Dalibor Volas, Nejc Potokar dan Zesh Rehman disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk menggempur lawan sekali gus meraih kemenangan di halaman sendiri.
Katanya, tiada yang mustahil untuk melaksanakan misi berkenaan kerana semua pemain sudah menjalani latihan intensif termasuk beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini.
“Saya kini harap segala perancangan menjadi untuk meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik biarpun ada yang meragui kemampuan skuad Tok Gajah mengharungi cabaran dalam saingan Liga Malaysia musim ini.”-harian metro