CHERAS: Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila seekor ular yang cuba dihalau keluar dari laman rumahnya memasuki enjin kereta jenis Proton Wira miliknya yang diletakkan di depan rumah di Taman Cheras Awana, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, warga emas berusia 60 tahun itu dikatakan menyedari kehadiran reptilia tersebut di kawasan garaj rumahnya selepas terlihat sesuatu yang ‘pelik’ menjalar di atas lantai.
Mangsa kemudian memancut air ke arah haiwan tersebut menyebabkan ia ‘melarikan diri’ ke sebuah kereta yang diletakkan berhampiran.
Jiran mangsa, Robert Dass berkata, mangsa ke rumahnya apabila gagal mengeluarkan ular tersebut dari bahagian enjin kereta.
“Saya terkejut bila jiran beritahu ada ular masuk dalam kereta dia, hampir satu jam kami cuba bawa keluar tapi gagal kerana ia terbelit di ruang ekzos.
Robert berkata, dia terpaksa menghubungi pasukan keselamatan sebelum Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di lokasi kira-kira jam 9 pagi.
“Selepas hampir 30 minit barulah ular sawa dianggarkan sepanjang 2.5 meter itu berjaya dibawa keluar anggota JPAM,” katanya.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
-Sinar Harian