Panasnya Hari Ini

UMNO Tidak Sepatutnya Tiru Perangai Pembangkang- Syed Ali

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat perselisihan yang berlaku dalam parti hanya akan merosakkan asas kepada wadah perjuangan dan teras kesatuan orang Melayu semata.

Ujarnya, sebarang pertelingkahan dalam UMNO perlu dielakkan dan kembali mengambil kira kesepakatan berasaskan kekeluargaan yang diterap selama ini.

“Sebarang pertelingkahan yang boleh membawa kepada perpecahan UMNO hendaklah dielakkan dengan mengambil kira kesepakatan berasaskan semangat kekeluargaan yang dipupuk selama ini.

“Benteng kukuh UMNO hendaklah dipertahankan kerana kekuatan itu menjadi simbol keagungan orang Melayu dan menjadi satu perbuatan yang amat hina jika benteng itu sengaja dirobohkan hanya disebabkan ingin memuaskan nafsu politik peribadi,” tegasnya menerusi catatan terbaharu di laman blog miliknya umnobahagiancheras.blogspot.my.

Tambahnya, perbezaan pendapat dan pandangan merupakan perkara lumrah dan sepatutnya ia tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Kita sayangkan UMNO, kita sayangkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam, sebab itu kita perlu bersatu.

“Pasti ada rasa tidak puas hati dan terkilan dalam mana-mana organisasi atau pertubuhan siasah terhadap pucuk pimpinan berhubung sesuatu perkara.

“Oleh sebab itu, UMNO mempunyai saluran tertentu untuk ahli-ahlinya menyalurkan segala pandangan, teguran dan saranan jika membawa manfaat kepada kepentingan parti,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi rasa kesalnya kerana sejak akhir-akhir ini ada sesetengah pihak seperti mengambil kesempatan meletakkan sesuatu kesalahan terhadap pemimpin tertentu.

“Mencari kesalahan orang lain bukan perbuatan terpuji, malah apa yang kita kesal kerana perbuatan seperti itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Kadang kala kita lupa kepada tatasusila sebagai orang Melayu yang kaya dengan nilai-nilai budaya murni dan menghormati pemimpin.

“UMNO sepatutnya tidak meniru perangai pemimpin pembangkang yang suka mencari kesalahan orang lain dan menyebarkan fitnah serta adu domba,” tegasnya.

Tegasnya,UMNO tidak sepatutnya dicemari dengan tindakan ‘melondeh kain’ sesama pemimpin yang sama sekali tidak memberikan keuntungan.

“Apa untungnya kepada UMNO jika kita suka londeh kain sesama kita. UMNO merupakan parti yang sudah menjadi darah daging perjuangan orang Melayu dan tidak sepatutnya dicemari dengan tingkah-laku seperti itu .

“Jangan kita fikir seronok buka keburukan sesama kita kerana rakyat sedang memerhati (UMNO), sepatutnya kita berpakat untuk bersatu membina semula kekuatan,” katanya.

Tegasnya, tugas untuk mendidik generasi muda agar menghayati perjuangan UMNO juga memjadi sukar apabila pemimpin menunjukkan teladan yang kurang elok.

“Bagaimana kita mahu mendidik generasi muda agar menghayati perjuangan UMNO, sedangkan sesama pemimpin mempamerkan teladan yang kurang elok.

“Generasi muda sepatutnya dipupuk dengan ciri-ciri kepimpinan terpuji dengan menjadikan UMNO sebagai model perjuangan kerana mereka merupakan pewaris masa depan negara,” jelasnya.

Tambahnya, pemimpin kini perlu diberikan sokongan dan dipertahankan manakala pemimpin terdahulu tetap dihargai di atas sumbangan yang telah mereka berikan.

“Ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat kepimpinan perlu berpegang teguh kepada falsafah perjuangan parti.

“Lupakanlah soal remeh-temeh dan agenda peribadi, yang penting UMNO perlu diperkasakan terutama bagi menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Syed Ali turut menegaskan, musuh-musuh UMNO sememangnya sentiasa berusaha melakukan pelbagai serangan untuk menghancurkan kekuatan parti termasuk Barisan Nasional (BN).

“Pembangkang akan melakukan serangan dalam pelbagai kaedah dan strategi supaya timbul keresahan dan kebencian rakyat terhadap UMNO.

“Mereka (pembangkang) lakukan serangan fitnah secara terancang sehingga perkara yang tidak betul nampak seperti sahih dan benar,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");