Berita Hari Ini

Virus Zika dikesan dalam air liur

Rio de Janeiro: Pihak berkuasa Brazil semalam berkata, virus Zika dikesan dalam air liur dan kencing pesakit.

Zika yang dikaitkan dengan kecacatan bayi di Brazil, dipercayai disebarkan menerusi gigitan nyamuk.

Bagaimanapun, laporan terbaru yang mengatakan ia juga boleh dijangkiti menerusi seks dan pemindahan darah serta kehadiran virus itu dalam air liur dan air kencing dua pesakit mencetuskan kebimbangan baru.

Kemungkinan virus itu hadir dalam cecair tubuh manusia akan menyulitkan lagi usaha mengawal virus itu merebak.

Sehubungan itu, ketua institusi kajian perubatan Brazil yang mengumumkan demikian menggesa wanita hamil supaya tidak mengucup orang asing ketika karnival samba yang berlangsung di negara itu ketika ini.

Zika kini tersebar luas di benua Amerika sehingga memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan keadaan darurat kerana kaitannya dengan mikrosefali, keadaan yang menyebabkan bayi dilahirkan dengan kepala kecil.

Setakat ini, belum ada ubat atau rawatan untuk virus itu.

Sementara itu, pihak berkuasa Colombia berkata, tiga penduduk negara itu mati akibat Zika. .

Ia kenyataan rasmi pertama dikeluarkan kerajaan Colombia yang menyalahkan virus itu sebagai punca kematian.

Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan negara itu, pesakit berkenaan mati selepas dijangkiti virus itu dan menghidap kecelaruan neurologi yang dinamakan sindrom Guillain-Barre, sesuatu yang jarang berlaku.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");