Jenayah

Wang amanah turut hangus

JABI: Seorang mudir rumah menempatkan warga emas, hilang tempat berteduh selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Kampung Tok Dor depan Pusat Latihan dan Pembangunan Pengembangan (PLPP) Besut, kira-kira 6.15 pagi semalam.

Ketika kejadian, Mohd Harun Hussin, 73, yang merupakan Pengerusi Rumah Warga Tua Nurul Saadah dan isteri, Wan Maimunah Deraman, 71, berada di rumah warga emas berkenaan yang terletak kira-kira sekilometer dari tempat kejadian.

Mohd Harun berkata, bagaimanapun, anak angkat mereka, Mohd Rais Maidim, 30, yang mengalami masalah lembam berada di rumah.

Menurutnya, nasib Mohd Rais baik apabila diselamatkan jiran juga penyewa satu unit rumah miliknya yang turut terbakar.

“Saya dan isteri pergi solat Subuh di surau pondok, Mohd Rais pula lewat sikit jadi dia tak pergi. Biasa dia memang ikut sama.

“Selepas subuh, tiba-tiba ada orang datang beritahu rumah saya terbakar. Bila sampai, saya nampak rumah hampir hangus, termasuk rumah berkembar yang saya sewa pada sebuah keluarga,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai guru agama dan mudir di Rumah Warga Tua itu sejak 1987 tinggal sehelai sepinggang selepas semua barangan termasuk dokumen penting di dalam rumah musnah.

“Turut musnah duit RM10,000 milik seorang penghuni pondok yang diamanahkan kepada saya untuk membina rumahnya di dalam pondok itu, selain selaras senapang patah milik saya yang disimpan dalam peti khas.

“Saya anggarkan kerugian ditanggung mencecah kira-kira RM350,000. Saya agak kebakaran bermula dari bilik tidur Mohd Rais sebelum merebak ke bahagian lain,” katanya.

Tambahnya, rumah itu terdapat tiga pintu di mana dua pintu digunakannya sekeluarga, sementara satu pintu lagi disewakan.

Sementara itu, penyewa rumah, Kadir Sulaiman, 64, berkata, dia menyedari kebakaran itu kira-kira jam 6.10 pagi apabila terdengar bunyi sesuatu daripada rumah sebelah.

Menurutnya, sebaik keluar dari rumah dia dapati terdapat asap keluar dari bahagian bilik rumah tengah itu dan dia cuba memecahkan pintu rumah berkenaan untuk membantu memadam api namun gagal membuka pintu tersebut.

“Selepas suruh isteri dan tiga anak keluar, saya lari ke belakang rumah sebelum nampak Mohd Rais ketakutan. Saya bawa dia ke tempat selamat. Saya ingat dia ikut Ustaz Harun ke pondok,” katanya yang hanya sempat menyelamat telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Wira.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohd Zailani Abdullah berkata, dua jentera termasuk sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih bersama 10 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, rumah tersebut telah musnah 100 peratus.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");