Sukan Hari Ini

Yiwei tak terjejas ancaman Zika

Kuala Lumpur: Tidak terganggu dengan virus Zika yang menular di Brazil, skuad terjun yang akan beraksi pada Kejohanan Terjun Piala Dunia di negara itu pada 19 Februari ini berharap dapat menambah bilangan atlet yang layak ke Olimpik Rio.

Atlet negara Chew Yiwei yang kini menjalani latihan intensif di China sebagai persediaan sebelum berangkat ke Rio pada 13 Februari ini berharap dapat mencuri sekurang-kurangnya satu tempat ke Rio.

Beraksi dalam tiga acara, 3 meter papan anjal, 10m platform dan acara 3m terjun seirama bergandingan bersama Ahmad Amsyar Azman Yiwei berkata, dia kini sudah bersedia dan bertekad untuk melakukan terjunan terbaik untuk menyertai empat rakannya yang terlebih dulu menempah tiket ke Rio.

“Saya lihat peluang untuk layak ke Olimpik Rio cerah namun saya perlu lebih fokus terutama ketika melakukan terjunan.

“Jika layak ke Rio ini Olimpik pertama dan pastinya ia sesuatu yang menggembirakan,” ujarnya.

Pada Kejohanan Terjun Grand Prix FINA di Australia November lalu, Yiwei menyumbang perak dalam acara 10m platform seirama dan gangsa 10m platform individu.

Untuk layak secara merit ke Olimpik Rio, atlet terjun negara sekurang-kurangnya perlu layak ke separuh akhir iaitu menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik dalam acara individu dan berada di kelompok lapan terbaik dalam acara terjun seirama.

Empat atlet terjun negara sudah menempah tempat ke Olimpik Rio iaitu Pandelela Rinong, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri dan Ooi Tze Liang.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");