Membawang Hari Ini

Zombie La La La: Tampil sisi berbeza Siti Saleha, Zulin Aziz

BAKAL membuka tirainya bermula 13 hingga 21 Februari ini di Istana Budaya (IB), teater Zombie La La La mengangkat penceritaan mengenai sekumpulan zombie dari dari Malaysia, Thailand, Amerika, Mesir dan Indonesia datang ke Kuala Lumpur setelah mengetahui terdapat formula yang akan memulihkan rupa paras mereka.

Menarik mengenai plotnya, ia memuatkan pelbagai peristiwa lucu dan sedih yang berlaku ketika mereka mencari lokasi formula tersebut termasuklah di KLCC, Muzium Negara, Dataran Merdeka, Zoo Negara dan Tugu Negara termasuklah sering diganggu Jin Aprit.

Mendapat sentuhan pengarah A.Aris Kadir teater ini dibintangi Siti Saleha (Cleo Papa), Zulin Aziz (Miss K), Amar Baharin (KaptenCook), Amy Mastura (HappyWitch), Janna Nick (MeMangNak), Mei Fen (LiliPPoh), Syed Atiq Wan Long (JinAprit) dan Paavitrah Rajendran (Mummy India) sebagai tanggak utamanya.

Ia diterbitkan bersama oleh CTRA Production, Rumah Karya Citra, IB dan Persatuan Teater Malaysia (PTM) dengan tujuan mempromosikan kempen Cuti Cuti 1Malaysia Dekat Je.

Berkongsi mengenai teater ini, pelakonnya Siti Saleha memberitahu, sewaktu ditawarkan menjadi Cleo Papa, dia tertanya-tanya apakah mampu menjayakan karakter tersebut.

“Saya tertawa sendiri kerana ia sebuah cerita ‘komedi tidak seram’ iaitu satu genre yang amat berbeza berbanding dengan karektor saya sendiri.

“Cabaran yang menanti ialah bagaimana saya mengetengahkan watak seorang ‘diva’ yang penuh dengan kemewahan dan masalah silam berkomunikasi dengan zombie dari negara yang berbeza.

”Kekayaan CleoPapa ini pula ditampilkan menerusi pakaian dan kasut Cinderella serta barang kemas yang dihadiahkan oleh Raja Mesir kepadanya,” katanya.

Akui Siti Saleha, dia sebenarnya tidak sabar menantikan respons penonton pada pementasan nanti.

“Memang saya mempunyai latar berlakon teater, tetapi cabarannya tidak sama.

“Saya berharap penonton dan peminat dapat menerima kehadiran saya dalam bidang teater apatah lagi saya membawakan watak yang agak berat tetapi memerlukan unsur jenaka,” katanya.

Sementara itu menurut Zulin pula,dia memegang jawatan selaku Presiden Zombie Sedunia menerusi pementasan ini dan mungkin ia nampak mudah di mata penonton.

“Walaupun kelihatan mudah tetapi setiap dialog yang dituturkannya membawa maksud yang tersendiri.

“Saya perlu berhati-hati dan memahami maksud tersirat dalam setiap dialog tersebut kerana jika tersilap menginterpretasikan, ia mungkin akan berubah maksud,” katanya.

Jelas Zulin juga, Miss-K adalah watak misteri yang sangat penting kerana dialah yang menjadi titik tolak kepada berkumpulnya zombie dari beberapa negara ke Kuala Lumpur.

“Dalam hal ini, saya cuba melarikan identiti Zulin Aziz sebaliknya menjadi Miss-K yang dihormati, ditakuti, yang sombong, kelakar dan penakut.

“Ia kedengaran mudah bagaimana pun ia sebenarnya sangat mencabar saya, sementelah saya juga diwajibkan menari bersama-sama pelakon lain,” katanya.


Puas hati komitmen pelakon, kru

Sementara itu, penerbitnya Siti Rohaya Atan memberitahu, walau pun sesi latihan dalam jangka masa pendek, namun dia berusaha memastikan pementasan teater itu sempurna atau menjadi di mata penonton.

Ini kerana ujarnya, dia dan penerbit terlibat menerima tugasan tersebut daripada pihak IB secara mengejut.

“Bagaimana pun, kami ambil ini sebagai cabaran dalam mengukuhkan lagi kedudukan kami di pentas teater.

“Sehingga kini, saya agak berpuas hati dengan komitmen diberikan krew dan pelakon terbabit sepanjang sesi latihan dijalankan.

“Saya harap semua berjalan lancar dan tiada masalah teknikal besar berlaku pad pementasan itu nanti,” katanya.

Ujar penerbit teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini, mereka tidak akan sesekali mensia-siakan peluang tersebut.

“Bukan mudah untuk mendapatkan slot di IB, jadi kami akan pastikan Zombie La La La memberi impak besar menerusi pementasannya nanti,” katanya

Bawa kapal ke IB

Menerusi pementasan ini juga sebuah kapal layar akan dibawa masuk ke pentas IB.

Ujar Siti Rohaya, pementasan teater ini akan memberi peluang dan pengalaman kepada audiens untuk menyaksikan kehebatan kapal tersebut menerusi interpretasi mereka.

“Meskipun terpaksa mengeluarkan bajet yang tinggi untuk melaksanakan penggunaan kapal tersebut, tetapi saya pasti ia memberikan kelainan yang tidak dijangka penonton nanti, ” katanya.

Siti Rohaya juga optimis ‘pelaburannya’ itu akan memberi impak yang besar kepada industri seni.

“Selain kapal tersebut bertindak sebagai pelengkap penceritaan, pementasan ini juga diselitkan dengan beberapa unsur kekaguman dan magis,” katanya.

Tambahnya, teater yang mengambil durasi 90 minit ini akan membuatkan penonton tidak kering gusi kerana babak-babak yang diketengahkan.

Set, kostum pelengkap pementasan

Tidak lengkap rasanya sesebuah produksi itu tanpa pereka set yang mencipta set gergasi yang hebat bagi sesebuah pementasan teater.

Menurut pereka set dan multimedia teater ini, Najiffaizal Mohd Tawil, dia gembira kerana penerbit memberi peluang dan kebebasan kepadanya menghasilkan sebuah kapal yang akan menjadi pengangkutan utama zombie untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Meskipun mekanisme pergerakan itu tidak dapat dilakukan secara bermotor kerana kekangan teknikal, namun saya percaya ia membawakan kesan gah apabila ditonton,” katanya.

Mempunyai pengalaman 10 tahun dalam bidang ini, jelasnya, pementasan tersebut akan menampilkan kerja kreatif lain seperti animasi yang digabungkan dengan pentas.

“Latar teater ini berubah dari satu tempat ke satu tempat dengan cepat dan pelbagai arah, saya menggunakan teknik fotografi yang dipancarkan kepada projektor,” katanya.

Sementara itu, pereka kostum, Sarena Azizan melihat teater yang ditulis skripnya sendiri oleh Siti Rohaya ini memberi dimensi berbeza dari sudut rekaan dan penggunaan.

“Teater ini tidak dinyatakan latar masa yang terperinci kerana kebanyakan watak utama hidup lebih awal dari zaman sekarang.

“Justeru, kostum yang direka tidak menggambarkan sesuatu zaman sebaliknya mengikut watak dan latar tempat.

“Contohnya, watak Cleo Papa diinspirasikan daripada kisah Cleopatra, watak Lili Poh dirujuk kepada Hang Li Po manakala watak Elvi Pasola adalah gambaran penyanyi legenda Elvis,” katanya yang pernah mereka kostum untuk teater Upin & Ipin The Musical dan Di Bawah Lindungan Kaabah.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");