Berita Hari Ini

Agensi penarafan tidak beri penarafan sewajarnya

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) adalah antara bank pusat pertama yang mempelbagaikan rizab asingnya ke dalam instrumen dari rantau Asean, kata Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.

Namun begitu usaha penting berkenaan telah tidak diambil kira oleh agensi penarafan, katanya.

“Bank Negara adalah antara bank pusat pertama yang mempelbagaikan rizabnya ke dalam instrumen dari rantau ini kerana kita merasakan kita tahu rantau ini walaupun agensi penarafan tidak memberikan penarafan yang kita rasakan kita berhak,” kata beliau pada Forum Global Wharton 2016 di sini.

Beliau berkata BNM, menerusi pemantauan dan pengawasan, berpendapat ia juga perlu mempelbagaikan rizabnya dalam Asean.

“Dan ini bukan sahaja mengurangkan kedudukan mudah terdedah kita kepada perkembangan luaran tetapi akan menyumbang ke arah mencapai keadaan yang lebih stabil dalam pasaran kewangan serantau,” katanya.

Masa depan Asean perlu dibina di atas tindakan bersama untuk kemajuan di rantau ini, manakala kerjasama serantau dalam pengawasan, jaringan keselamatan kewangan dan pengurusan krisis adalah penting, katanya.

“Kita tidak mahu menunggu krisis lain yang kita semua alami pada 1997-1998 yang telah kita berjaya menguruskannya secara sendiri,” katanya.

Zeti, terkenal dengan dasar futuristik, berkata terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan untuk integrasi kewangan lebih luas di rantau ini.

“Integrasi kewangan di rantau ini tidak mencapai kemajuan yang ketara.

Ekonomi Asean bagaimanapun telah mencapai peringkat pembangunan di mana lebih banyak integrasi kewangan serantau boleh dimanfaatkan pertumbuhannya,” kata beliau.

Mengenai masa hadapan, usaha untuk integrasi kewangan serantau adalah sesuatu yang sedang dilaksanakan oleh bank-bank pusat Asean.

“Ia bagi membawa lebih banyak dana perantara yang lebih berkesan, membawa lebihan daripada satu negara dan menyalurkannya kepada pelaburan yang produktif di negara lain.

“Rantau Asean, antara yang mempunyai kadar simpanan tertinggi di dunia, berpotensi besar untuk memenuhi beberapa keperluan pembiayaan, seperti projek-projek pelaburan besar atau pembangunan infrastruktur.

Integrasi kewangan akan memudahkan penyaluran dana daripada negara yang mempunyai lebihan kepada pelaburan yang produktif di rantau ini.

Ia juga akan membolehkan kepelbagaian risiko aset yang lebih cekap untuk melibatkan aset asing di rantau ini, seperti langkah Bank Negara untuk mempelbagaikan rizabnya, kata Zeti.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");