Panasnya Hari Ini

Bina Rumah Untuk Mangsa Banjir: Kerajaan PAS Kelantan Seperti Tidak Ikhlas

KUALA LUMPUR: Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Kelantan mengakui kerajaan Pas Kelantan ada menawarkan beberapa kawasan tanah kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan rumah baharu berkelompok kepada mangsa banjir di kawasan Kuala Krai.

Bagaimanapun, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Datuk Ramzi Abdul Rahman, semua kawasan yang ditawarkan itu tidak sesuai kerana berbukit tinggi dan ladang kelapa sawit milik penduduk.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang mendakwa Kerajaan Persekutuan pernah berjanji peruntukan RM3.9 juta bagi tujuan itu, tetapi sehingga sekarang wang berkenaan tidak diterima kerajaan negeri.

Menurut Ramzi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, tuduhan itu seolah-olah Kerajaan Persekutuan tidak tanggungjawab dalam membantu menyelesaikan masalah mangsa banjir yang kehilangan rumah dalam kejadian banjir paling buruk dua tahun lalu.

Katanya, berdasarkan fasa kedua pembinaan rumah, sama ada di tanah bergeran, individu ataupun berkelompok, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM3.328 juta dan sekarang di peringkat 95 peratus siap.

“Mengenai hal banjir ini, sudah hampir dua tahun menjadi perbualan dan perbincangan di kedai-kedai kopi. Ia tidak pernah sunyi daripada diperkatakan, kebanyakannya hal negatif kepada Kerajaan Persekutuan.

“Bermacam-macam tuduhan dan tohmanan, terutama daripada pemimpin kerajaan negeri sendiri, kononnya Kerajaan Persekutuan tidak menyediakan peruntukan. Ini tidak benar sama sekali.

“Selain yang saya katakan itu, Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) juga turut membina sebanyak 94 unit rumah mangsa banjir di Kampung Telekung dengan harga kira-kira RM65,000 seunit,” ujar beliau.

Tambahnya lagi manakala di Kuala Krai, sebanyak 293 unit rumah bergeran sudah dibina, diikuti 120 unit individu dan 104 unit berkelompok.

“Kita juga hendak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri. Kita akui kerajaan negeri ada tawarkan tanah untuk pembinaan rumah berkelompok ini, tetapi setelah kita jalankan kajian, kawasan itu bermasalah.

“Masalahnya, tanah yang ditawarkan itu tidak sesuai. Ada satu tempat kerajaan negeri tawarkan tanah seluas 60 ekar, tetapi ladang kelapa sawit milik penduduk.

“Begitu juga di Dabong, kerajaan negeri tawarkan tanah, malangnya apabila saya bersama Ketua Jajahan dan Majlis Daerah turun meninjau tanah berkenaan, ia adalah sebuah bukit yang tinggi. Ini seperti tidak ikhlas,” katanya memetik sumber MalaysiaGazette.

Bagi mengatasi masalah itu,jelasnya Kerajaan Persekutuan menerusi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed terpaksa mengambil tanah milik persekutuan untuk membina rumah berkelompok.

“Sudah tentulah prosesnya mengambil masa dan sekarang ini pun kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan dan terpaksa mengambil tanah persekutuan untuk kita bina rumah mangsa banjir,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");