Panasnya Hari Ini

Blok Pakatan Pembangkang Baru : PAS Akan Gagal Jika Tidak Hormati Parti Lain

KUALA LUMPUR: Rancangan PAS untuk membentuk blok pembangkang kedua dengan sebuah parti pelbagai kaum akan gagal sekiranya parti itu tidak mampu menjadi inklusif dan menghormati parti lain.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, meskipun beliau mengakui PAS mempunyai hak untuk membentuk blok pembangkang yang baharu, namun yang paling penting adalah sama ada PAS boleh menjadi inklusif atau pun tidak.

“Itu hak mereka untuk bentuk gabungan tetapi apa yang penting ialah sama ada mereka boleh menjadi inklusif atau tidak.

“Salah seorang pemimpin mereka, penyokong kuat Presiden PAS, Khairuddin baru-baru ini berkata sempena sambutan Hari Wanita, wanita patut duduk di rumah bagi mengelak keluarga berpecah,”katanya, lapor The Malaysian Insider.

Terdahulu,Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, wanita perlu menjalankan tanggungjawab mereka yang sebenar di rumah sebagai isteri dan juga ibu.

Lim berkata, pandangan yang dilontarkan oleh Khairuddin itu tidak inklusif dan tidak menghormati wanita.

“Pandangan seperti ini, wanita tidak boleh jadi suri rumah yang baik jika bekerja, tidak inklusif dan tidak menghormati wanita,”ujarnya.

Kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, PAS juga tidak mempunyai pendirian yang tegas dalam menangani beberapa isu.

“Kedua, pendirian mereka terhadap rasuah tidak cukup tegas seperti dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal derma RM2.6 bilion. Bolehkah mereka tegas dalam memerangi rasuah?

“Ketiga, daripada aspek kecekapan, bolehkah mereka bawa perubahan dalam pentadbiran? Buat lebih baik daripada Barisan Nasional?

“Jika kita lihat bagaimana kerajaan Kelantan ditadbir, saya fikir ia tidak akan dapat keyakinan rakyat,”ujarnya.

PAS dan DAP sebelum ini bergabung di dalam Pakatan Rakyat bersama-sama PKR dan kemudiannya berpecah selepas PAS tetap dengan pendirian untuk melaksanakan hukum hudud.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");