Panasnya Hari Ini

‘Bukan Niat Saya Untuk Menjadi Perdana Menteri’

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kelantangan beliau bersuara mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penyertaannya dalam Deklarasi Rakyat bukanlah kerana beliau ingin menjadi Perdana Menteri seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Tegasnya, beliau tidak pernah memikirkan perkara tersebut dan beliau yakin semua itu merupakan ketentuan Allah selain daripada beliau mahu menyelamatkan UMNO dan BN daripada terus jatuh.

“Saya hendak jelaskan bukan niat saya untuk menjadi Perdana Menteri hanya kerana orang kata saya orang nombor dua dalam parti. Seolah-olah saya tidak boleh tunggu, tiada, Wallahi.

“Penentu segalanya adalah Allah, kalau jadi jadilah, kalau tak jadi tak apa…tapi…tak akan kerana memikirkan soal itu saya ketepikan tugas saya hingga parti saya boleh rosak dan masa hadapan negara boleh hancur.

“Biarlah saya jadi lilin yang membakar diri untuk menyelamatkan situasi daripada saya mendiamkan diri bersyubhah dengan perbuatan kemungkaran akhirnya parti tenggelam dan kalah hilang kuasa, siapa harus bertanggungjawab,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Sinar Harian, hari ini.

Tegas bekas Timbalan Presiden UMNO itu lagi, dengan sikap kelantangannya mengkritik kepincangan yang berlaku dalam UMNO, setidak-tidaknya beliau mampu menyedarkan parti itu untuk terus berada pada landasan yang sebenar.

“Setidak-tidaknya saya kata waktu itu saya telah buat, kamu tidak mahu dengar kata saya.

“Kamu biarkan beliau berkuasa inilah jadinya. Saya bukan buat jangkaan jauh, tapi saya boleh baca dan melihat keadaan bagaimana boleh berlaku dalam tempoh pilihan raya umum (PRU) akan datang,”ujarnya.

Walaupun dicerca dan dikritik oleh pemimpin UMNO, Muhyiddin berkata beliau tidak akan berdiam diri.

“Its okay (Tidak mengapa) mereka hendak gantung saya, sepatutnya saya bukan orang yang digantung atau pun nak dipecat. Bagi saya, saya patut orang terakhir yang dilakukan sedemikian.

“Adanya orang buat mungkar, bukan saya yang harus dihadap ke Lembaga Disiplin, tetapi orang itu patut bertanggungjawab di atas kerosakan yang berlaku,”ujarnya.

Katanya lagi, beliau tidak berasa takut dengan langkah yang diambil olehnya kerana apa yang penting adalah akhirat.

“Sementara hidup, berjuanglah, walaupun kita menjadi mangsa, saya bersedia untuk hadapi segala kemungkinan,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");