Membawang Hari Ini

Cabaran hasilkan Running man

Selepas lebih 200 episod ditayangkan sejak mula bersiaran lima tahun lalu, Running Man terus unggul sebagai program ‘variety’ paling digemari di Korea Selatan selain cemerlang meraih jutaan pengikut di seluruh dunia.

Selain penampilan hos iaitu Lee Kwang Soo, Kim Jong-kook, Gary, Haha, Song Ji-hyo, Ji Suk-jin dan Yoo Jae-suk yang mencetus fenomena, usaha keras produksi semestinya turut memainkan peranan penting.

Tidak dinafikan, pasukan produksi Running Man yang sebenarnya merencanakan segala kejayaan program itu.

Sebagaimana berkesannya perjalanan setiap episod Running Man, begitu juga yang berlaku di balik tabirnya.

Penerbitnya Lee Hwan Jin berkata, penonton mungkin tidak melihat dengan mata kasar namun untuk menggerakkan program berkenaan cukup mencabar.

“Saya tidak mahu sebut episod mana yang paling mencabar tetapi secara umumnya Running Man adalah rancangan yang menjalani penggambaran di luar bangunan. Ia bermakna terlalu banyak aspek perlu dititikberatkan terutama props yang semuanya disediakan kakitangan kami.

“Lebih mencabar ia perlu disediakan dan ditukar setiap minggu. Untuk itu saja ia sudah menelan kos yang sangat besar. Semuanya demi memastikan kualiti program terjaga,” katanya.

Penerbitan Running Man membabitkan 20 pengarah dan 10 penulis skrip. Dalam bidang teknikal pula, ia membabitkan 50 kru untuk mengemudi kamera, pencahayaan (10), set dan props (20), audio (lima), pengawal (30), penjaga jalan (30) dan kakitangan tambahan seramai 30 orang.

Menurut Hwan Jin, setiap hari jadualnya turut dipenuhi dengan mesyuarat bagi menambah baik program itu.

“Running Man adalah hasil persetujuan daripada beberapa mesyuarat, pertukaran idea serta pemantauan terhadap program ‘variety’ yang lain.

“Kami tidak mengetepikan idea daripada isu yang ada refleksi dengan masyarakat sekarang dan dari situlah sebenarnya idea kami hadir. Semua inilah yang menjadi kejayaan kepada keberkesanan penyampaian selain merealisasi pelbagai jenis permainan,” katanya.

Running Man turut popular kerana kerap menampilkan artis popular sebagai jemputan.

Hwan Jin berkata, menampilkan artis popular lain bukan tugasan mudah. Aspek keselamatan menjadi keutamaan mereka selain tiada unsur paksaan diberikan terhadap setiap artis terbabit.

“Setiap permainan yang disediakan akan diuji kru kami terlebih dulu. Selepas itu, barulah kami mencadangkan kepada mereka sama ada mereka mampu atau tidak melakukan tugasan itu.

“Sekiranya ia terlalu sukar buat mereka, kami akan terus menukar peraturan setiap permainan itu. Bagi kami, paling penting ialah keselamatan,” katanya.

Menurut Hwan Jin, pihaknya turut mengambil cadangan idea daripada peminat dalam memastikan cabang idea program itu lebih meluas.

Kemahuan penonton ternyata antara faktor terbaik bagi menambah baik program itu.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mengambil kira tindak balas penonton terhadap Running Man. Memanglah sangat sukar untuk meneliti satu persatu pendapat mereka namun yang pasti kami sentiasa mendengar terutama idea yang realistik dan menyeronokkan.

“Contoh paling saya ingat ialah idea daripada seorang pelajar sekolah tinggi dari Hamyangjoo. Dia mengakui sangat meminati Lee Kwang Soo dan kami sebenarnya menggunakan idea daripadanya dalam satu episod tertentu,” katanya.

Running Man boleh diikuti menerusi saluran ONE HD (Astro 393) setiap Ahad, jam 8.35 malam.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");