Berita Hari Ini

Cubaan Culik Pemimpin Negara Bertujuan Dapatkan Dana

KUALA KUBU BHARU: Cubaan kumpulan militan Daesh untuk menculik beberapa pemimpin negara ini, dipercayai bertujuan mendapatkan dana bagi menyebar dan memperluaskan fahaman mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata polis percaya kumpulan itu sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai tujuan tersebut.

“Ancaman Daesh ini serius dan polis akan memerangi kumpulan itu walau di mana jua mereka berada demi memastikan propaganda mereka tidak tersebar luas di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara adalah selamat serta terkawal dan polis kini mempertingkatkan lagi usaha memantau kumpulan berkenaan.

Pada Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, mendedahkan selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau sendiri dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menjadi sasaran kumpulan itu.

Mengulas mengenai bahan uji kaji yang disangkakan bom di Aquaria Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Rabu lepas, beliau berkata pelajar yang meletakkan objek berkenaan tidak mempunyai niat buruk.

Menurutnya, polis sentiasa berusaha memastikan kawasan tumpuan ramai dan ikonik di negara ini, sentiasa dikawal dengan baik.

Terdahulu beliau menghadiri upacara perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Kadet Sarjan Siri 1/2015 di padang kawad, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, dekat sini.

Pada majlis itu, seramai 491 pelatih terdiri daripada 387 lelaki dan 104 wanita berjaya menamatkan latihan PLAK selama sembilan bulan.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");