KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat bahawa tindakan beberapa pihak yang mengumumkan Deklarasi Rakyat merupakan satu usaha yang sia-sia.
Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disertai oleh beberapa bekas pemimpin kerajaan, pemimpin pembangkang dan NGO telah menandatangani deklarasi tersebut yang bertujuan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.
Abdul Hadi berkata, Perdana Menteri hanya boleh dijatuhkan menerusi proses demokrasi iaitu, pilihanraya dan juga usul undi tidak percaya.
Berikutan itu, jelas Abdul Hadi, usul undi tidak percaya berkemungkinan tidak akan terjadi kerana ianya memerlukan majoriti dan sokongan daripada anggota Parlimen daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Kita mahu perubahan secara demokrasi sama ada undi tidak percaya atau pilihan raya. Undi tidak percaya mestilah undi di Parlimen dan di Parlimen mesti dari orang-orang UMNO sendiri.
“Kalau orang UMNO tak ubah, kita sahaja nak ubah kerusi nak buat apa.
“Ya sia-sialah. Senang sebut sia-sia. Dan mesti ada kemunasabahan dia,”ujarnya, lapor MalaysiaKini.