Sukan Hari Ini

‘FAM perlu lebih memahami’

Musim bola sepak Malaysia 2016 membuka tirai dengan perlawanan pertama Liga Super pada 13 Februari lalu.

Pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) membuka tirai dengan bertemu Selangor dan seterusnya, kedua-dua pasukan ini terbabit pula dalam kancah Piala AFC.

Tapi Johor DT gagal mara ke Liga Juara-Juara Asia dan seterusnya terpaksa bersaing dalam Kumpulan H bersama pasukan Lao Toyota, Ayeyawady serta Bengaluru FC padas saingan Piala AFC.

Selangor pula bersaing bersama Tampines Rovers, Ceres FC serta Sheikh Jamal Dhanmodi dalam Kumpulan E.

Kini kedua-dua pasukan sudah melampaui perlawanan kedua peringkat kumpulan masing masing.

Kemenangan Tampines Rovers dari Singapura ke atas Selangor dengan satu gol diraikan secara besar-besaran. Mengapa tidak? Setiap perlawanan yang membabitkan pasukan dari Malaysia dan Singapura selalunya mempunyai keistimewaan tertentu.

Tapi apa yang ingin dibahaskan di sini adalah jadual membabitkan pasukan Selangor sehingga tewas dengan persembahan lesu.

Perlawanan kedua Piala AFC yang membabitkan Selangor berlangsung pada 8 Mac lalu. Perlawanan ini aksi kelapan mereka dalam tempoh 23 hari. Pendek kata, satu perlawanan setiap tiga hari bukan satu senario yang ideal.

Johor DT selaku juara bertahan Piala AFC juga mengalami jadual padat termasuk perjalanan ke Kolkata menentang Bengaluru FC.

Ini bukan sesuatu yang boleh diambil ringan. Perjalanan pergi balik pasukan Selangor selama 31 jam bertemu Ceres FC dari Filipina itu bukan sesuatu yang harus dipandang remeh pihak pentadbiran bola sepak negara kita.

Kepada pentadbir badan induk bola sepak negara, FAM, tolong teliti dengan mendalam kesan akibat situasi dialami kedua-dua pasukan ini.

Bukankah setiap pasukan bersaing dalam Piala AFC, terutama dari Kumpulan E serta Kumpulan H mengalami jadual yang sama? Betul.

Bukankah setiap pasukan bersaing dalam Piala AFC, terutama dari Kumpulan E serta Kumpulan H mengalami perjalanan yang sama? Betul.

Bukankah setiap pasukan bersaing dalam Piala AFC, terutama dari Kumpulan E serta Kumpulan H mempunyai cita-cita yang sama? Salah!

Apa yang dilakukan Johor DT sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan mereka mempunyai impian tertentu. Selepas menjuarai Piala AFC 2015, cita-cita beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia berkecai melalui sepakan penalti menentang Muangthong United dari Thailand.

Semusim lagi dalam Piala AFC dan seterusnya pasti menyaksikan mutu bola sepak negara bakal mundur kerana matlamat serta motivasi akan kurang secara tidak langsung.

Pemain kebangsaan dari Johor DT akan beraksi melebihi 11 perlawanan sehingga 19 Mac sebelum mereka melapor diri untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018, menentang Arab Saudi pada 25 Mac ini.

Pemain kebangsaan dari Selangor pula akan melapor diri selepas beraksi 10 perlawanan sekembalinya mereka dari Bangladesh.

Sejurus melapor diri, pemain ini dikehendaki pula melonjak dua tahap ke peringkat antarabangsa. Jelas Piala AFC ini dua tahap lebih rendah daripada Liga Juara-Juara Asia yang menyaksikan kehadiran pasukan dari Arab Saudi.

Pemain kebangsaan dari Johor DT serta Selangor akan memikul tanggungjawab lebih berat kerana ‘berpengalaman’ beraksi di peringkat Piala AFC.

Adakah pemain ini mampu, dari aspek fizikal untuk membawa cabaran lebih besar selepas berhempas pulas dalam jadual padat untuk mengharumkan nama negara?

Adakah FAM memahami situasi ‘vicious circle’ yang menjejaskan tahap bola sepak di negara ini?

Adakah FAM ingin membantu ahli gabungan mereka berjaya di peringkat Asia kerana kejayaan ini yang akan melonjakkan bola sepak kita di peringkat antarabangsa?

Perkara ini sebenarnya hanya memerlukan sedikit pengurusan jadual perlawanan yang membabitkan kedua-dua pasukan Johor DT serta Selangor. Dengan memberi kelebihan kepada pasukan yang mewakili negara di peringkat Asia maka peluang melayakkan lebih banyak pasukan boleh menjadi realiti.

Dengan memberi kelebihan kepada pasukan yang mewakili negara di peringkat Asia bermakna lebih banyak peluang untuk menjayakan perwakilan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.

Sudah tiba masanya FAM untuk menjadi proaktif kerana kekalahan pasukan kita di tangan kelab Singapura secara tidak langsung memalukan negara.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");